Pelajaran daripada Surah Al-Kahfi

 

1. Keimanan, kekayaan, kefahaman/ilmu, dan kekuasaan adalah rahmat dan pemberian daripada Allah s.w.t kepada hamba-Nya yang terpilih.

2. Tujuan pemberian itu ialah supaya hamba yang terpilih itu menjadi penggerak/pelaksana kepada taqdir dan suratan baik buruk bagi manusia yang telah Allah tentukan.

3. Apabila telah selesai tugas itu Allah s.w.t boleh sahaja mengambil semula pemberian itu. Ataupun jika pemberian itu dikhianati; iaitu apabila ia digunakan bukan untuk tujuan asal yang Allah inginkan sebaliknya untuk kepentingan peribadi, pemberian itu juga akan ditarik semula oleh Allah s.w.t.

4. Melalui pemberian yang empat itu, dan melalui hamba terpilih yang memilikinya, manusia seluruh dunia dapat merasai kewujudan Allah, merasai rahmat Allah, dan merasai pentadbiran serta undang-undang Allah Yang Maha Adil dalam kehidupan mereka.

5. Hamba-hamba yang terpilih itu tahu bahawa mereka terpilih kerana kesanggupan mereka untuk memikul tugas berat membawa kebahagiaan kepada manusia lain. Mereka menganggap mereka sendiri tidak patut mengambil kesempatan walau sedikitpun ke atas perkara yang Allah berikan kepada mereka.

6. Mereka sentiasa memikirkan maslahat umum berbanding maslahat peribadi. Mereka sanggup mengorbankan keselesaan peribadi untuk membolehkan manusia lain merasai sentuhan Ilahi dalam hidup mereka.

7. Tidak kurang ramai yang asalnya terpilih lalu diberikan empat perkara di atas namun akhirnya tersilau dengan kehebatan empat perkara itu lalu mereka mengkhianatinya (rujuk point 3).

8. Antara punca utama mereka menjadi begitu ialah kerana mereka beralih kem. Daripada bersandar dan taat hanya kepada petunjuk Allah, mereka memilih untuk berkhidmat dan mengambil petunjuk daripada Syaitan dan zuriatnya/kuncu-kuncu syaitan.

9. Meskipun pemberian itu tidak ditarik semula secara segera di dunia, Allah telah menyatakan bahawa mereka itu adalah golongan yang paling rugi dalam rekod hidup mereka di dunia kerana mereka banyak membuat usaha tetapi tidak ada satu pun yang dianggap memiliki nilai yang boleh ditimbang di akhirat.

10. Mungkinkah kita di kalangan hamba yang terpilih dan dikurniakan salah satu daripada empat perkara itu? Adakah kita di kalangan yang sedar bahawa itu hanya pemberian yang sementara untuk kita menunaikan tugas dan menjalan taqdir Tuhan, atau kita seronok menggunakannya untuk kesenangan peribadi sahaja?

Moga Allah menyelamatkan dan memberi hidayah kepada kita semua.

Ustaz Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts