Peluang keemasan raih keampunan, keredaan Ilahi

Syaaban adalah antara bulan yang mulia di sisi Allah SWT. Ia bulan yang membawa keberkatan, nikmat dan kesejahteraan bagi umat Islam seluruhnya. Justeru, Rasulullah SAW banyak berpuasa sunat dalam bulan yang mulia ini di samping menggalakkan umat Islam melipatgandakan amal ibadat. Rasulullah meningkatkan amal ibadatnya kepada Allah SWT pada bulan agung ini.

Namun, Rasulullah pernah menegaskan kedatangan Syaaban tidak begitu diraikan dan disambut dengan penuh kesyukuran apabila ramai Muslim yang begitu leka, lalai dan alpa dalam merebut ganjaran serta kelebihan Allah sediakan sepanjang bulan ini. Mereka tidak mengambil kesempatan untuk beramal ibadat sebanyak mungkin seperti mereka bersungguh- sungguh meluangkan masa untuk beribadat kepada Allah SWT pada bulan Ramadan. Ini kerana adat jahiliah dahulu orang Makkah lebih mengutama dan memuliakan Rejab dan melupakan Syaaban.

Sehubungan itu, Usamah bin Zaid RA berkata: “Aku bertanya Rasulullah tentang Syaaban kerana aku tidak pernah lihat baginda banyak berpuasa sunat sebagaimana beliau berpuasa pada Syaaban. Baginda menjawab: ‘Bulan yang banyak manusia yang lalai dan padanya ialah bulan di antara Rejab dan Ramadan. Pada Syaaban akan diangkatkan segala catatan amalan hamba kepada Allah SWT. Dengan itu aku amat suka supaya diangkatkan segala amalanku ketika aku sedang berpuasa.'” Hadis Riwayat Ahmad dan Nasa’i

Maksud hadis itu jelas menunjukkan bahawa segala amal ibadat setiap Muslim sebenarnya diangkat oleh malaikat pada setiap hari manakala amal ibadat pada Syaaban bolehlah dikatakan sebagai laporan tahunan yang disediakan malaikat untuk dibawa ke hadrat Allah Yang Maha Besar. Setiap Muslim sewajibnya menginsafi segala gerak-geri, tindakan, perkataan, lintasan niat di hati dan sebagainya akan dicatatkan malaikat tidak kira besar mahupun kecil.

Hal ini amat jelas melalui firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa dibisikkan oleh hatinya, sedangkan (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya, yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” Surah Qaf, ayat 16-18

Oleh itu, setiap Muslim semestinya menyedari dan menginsafi betapa ketatnya pengawasan Ilahi terhadap sekalian makhluk-Nya. Dengan menginsafi pengawasan yang datang daripada pihak malaikat iaitu Malaikat Atid dan Raqib di samping pengawasan secara langsung daripada Allah Taala. Mudah-mudahan manusia akan mempunyai deria rasa keinsafan mendalam untuk menghentikan segala amalan buruk daripada satu segi dan memiliki dorongan serta semangat untuk melaksanakan pelbagai amalan kebajikan dan amalan salih dianjurkan Islam daripada satu segi yang lain.

Oleh kerana Rasulullah adalah teladan umat Islam dalam segala lapangan hidup, mereka digalakkan banyak berpuasa sunat pada Syaaban sebagaimana berpuasanya Rasulullah pada bulan itu. Ini kerana selepas Syaaban akan dituruti pula Ramadan yang diwajibkan kepada umat Islam berpuasa keseluruhannya. Dengan itu puasa pada Syaaban sebagai perintis dan latihan untuk membiasakan diri menunaikan kewajipan berpuasa Ramadan. Bagi mereka yang sudah biasa berpuasa sudah tentu kuranglah terasa kepenatan dan tidak pula terkejut serta berasa berat hati untuk berpuasa pada Ramadan nanti.

Selanjutnya, terdapat banyak hadis yang memberi perangsang kepada umat Islam supaya mengikuti sunah Rasulullah SAW. Di antaranya, Saidatina Aisyah pernah meriwayatkan bahawa beliau tidak pernah melihat Rasulullah saw berpuasa sebulan sepenuhnya kecuali Ramadan, beliau juga tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa hampir sebulan penuh melainkan pada Syaaban. Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Saidatina Aisyah pernah meriwayatkan Rasulullah pernah berpuasa pada Syaaban keseluruhannya. Hadis Riwayat Bukhari

Saidatina Ummu Salmah pula berkata: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali Syaaban dan Ramadan. Hadis Riwayat Nasa’i

Berdasarkan himpunan hadis itu dapat disimpulkan bahawa Islam menggalakkan umatnya supaya melaksanakan ibadat puasa sunat pada Syaaban. Lebih-lebih lagi ibadat puasa adalah suatu ibadat yang sangat dituntut dilakukan pada bulan itu. Bersesuaian dengan kedudukannya sebagai gerbang Ramadan, Syaaban sudah tentu akan melatih Muslim berpuasa menjelang ketibaan ujian yang berat pada Ramadan nanti.

Justeru, ada dalam kalangan ulama yang berpendapat puasa pada bulan ini disifatkan paling afdal atau baik selepas berpuasa Ramadan.

Berkenaan dengan kelebihan Nisfu Syaaban iaitu malam pertengahan Syaaban pula kita boleh dapati melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam kitab sahihnya: “Daripada Muaz bin Jabal RA. bahawa Nabi saw bersabda yang maksudnya: ‘Allah SWT melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan Allah akan memberikan pahalanya kepada seluruh hamba-Nya melainkan mereka yang melakukan kesalahan syirik dan orang yang berzina.'”

Dalam hadis yang lain sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin al-As bermaksud: “Allah SWT memandang kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampuni dosa hamba-Nya kecuali dua golongan iaitu orang yang membunuh diri dan orang yang menyebarkan fitnah.” Hadis Riwayat Ahmad

Demikianlah antara himpunan hadis yang menggambarkan secara umum kepada kita berkenaan kelebihan Syaaban yang sungguh istimewa. Oleh itu, amal ibadat mesti dilipatgandakan sebagaimana diamalkan Rasulullah yang memperbanyakkan puasa sunat. Paling utama, setiap Muslim sewajarnya merebut peluang keemasan yang terhampar pada Syaaban untuk meraih keampunan dan keredaan Ilahi kerana terdapat hadis yang menyatakan bahawa Allah SWT sedia memberi keampunan kepada hamba-Nya yang bertaubat pada sepanjang Syaaban yang penuh rahmat.

Penulis Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts