KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk DJ Dave mengakui, lagu Menjelang Hari Raya yang mendapat sentuhan komposer S Atan menyimpan nostalgia yang tersendiri.
Dave berkata, beberapa bulan selepas merakamkan lagu itu, dia tertarik untuk memeluk Islam kerana terpesona dengan keistimewaan agama suci itu.
“Lagu ini memberi ilham, malah menjadi pendorong untuk saya memeluk Islam. Saya bertuah mendapat sokongan keluarga angkat di Kampung Baru, selain bergaul dengan jiran untuk lebih mendalami agama ini,” katanya.
Mengulas mengenai Menjelang Hari Raya, Dave bersyukur, biarpun sudah mencecah usia 41 tahun, lagu itu terus menjadi pilihan ramai dan sering diputarkan radio setiap kali menjelang Syawal.
“Saya bertuah mendapat lagu yang cukup rasa. Lagu ini seperti ‘nyawa’ dan setiap kali musim Aidilfitri, ia antara sentuhan yang menjadi pilihan untuk menaikkan semangat berhari raya.
“Saya bersyukur, lagu itu masih bertahan hingga hari ini. Malah, kehebatan S Atan juga membuatkan barisan penyanyi muda seperti Syamel dan Ernie Zakri serta trio E1 turut mendapatkan sentuhannya untuk menghasilkan lagu raya.
“Sebagai penyanyi lama, saya bangga melihat kelompok artis baharu yang menghargai sentuhan komposer berpengalaman. Saya akui, sentuhan S Atan masih relevan dan mampu membangkitkan nostalgia,” katanya.
Ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) bersama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Dave atau nama penuhnya, Irwan Shah Abdullah berkata, komposer dahulu menyesuaikan lagu ciptaan mereka dengan suara penyanyi.
“Komposer dahulu menghasilkan lagu mengikut kesesuaian suara penyanyi. Tidak hairan, kebanyakan lagu lama dapat bertahan, malah turut diminati pendengar muda.
“Mungkin tidak keterlaluan jika saya katakan, era 1970-an menjadi pencetus revolusi dalam industri muzik hari ini,” katanya. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)