Pemimpin menurut perspektif Islam

 

PADA 24 Jun 2018 akan berakhirlah tempoh maksimum lima tahun mandat Kerajaan Persekutuan yang memerintah. Ia merupakan hari terakhir Parlimen perlu dibubarkan. Tempoh ini dikira berdasarkan kepada sidang pertama penggal semasa iaitu pada 24 Jun 2013.

Setelah Parlimen dibubarkan, pilihan raya umum (PRU) hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia dibubarkan. Ini berdasarkan kepada Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan.

Jika tiada pengumuman pembubaran sebelum tarikh tersebut dibuat oleh perdana menteri, maka Parlimen akan bubar secara automatik pada 24 Jun 2018 bagi membuka laluan untuk PRU diadakan. Justeru, paling lewat PRU14 akan dijalankan ialah pada penghujung Ogos 2018.

Ini bermaksud, rakyat Malaysia dari berbagai agama dan bangsa sekali lagi diberi peluang untuk melaksanakan tanggungjawab bagi memilih barisan kepimpinan negara yang bakal mencorakkan hala tuju negara melepasi tahun 2020 yang menjadi wawasan kepimpinan era Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia menjadi sebuah negara maju.

Meskipun wawasan ini kelihatan begitu samar untuk dicapai, setidak-tidaknya rakyat Malaysia boleh berbangga dengan pencapaian Malaysia sehingga kini walaupun impian untuk menjadi sebuah negara maju masih belum kelihatan bayangannya.

Apa pun pencapaian negara kita Malaysia setakat ini, sebagai rakyat dan juga pengundi berdaftar, kita mempunyai tanggungjawab besar untuk memilih pemimpin yang benar-benar berwibawa dan mempunyai nilai integriti tinggi bagi menjamin kelangsungan pentadbiran negara yang maju dan bersih dari amalan-amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Ia juga masa yang paling sesuai untuk melahirkan apa yang terbuku di dalam hati dan juga perasaan yang membara di dalam jiwa. Pada saat yang sama, ia adalah peluang terbaik ‘menghukum’ pemimpin rakus yang mengutamakan diri sendiri serta kroni mereka.

 

 

Dalam Islam, isu kepimpinan adalah isu yang besar dan serius. Kerana kepimpinan yang baik akan membawa kemakmuran dan keamanan kepada negara, manakala kepimpinan yang buruk dan zalim akan membawa porak-peranda kepada negara.

Firman ALLAH SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Hai Daud! Sesungguhnya kami menjadikan kamu (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan ALLAH. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan ALLAH akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.” (Surah Shaad ayat 26.)

Di dalam Islam, telah digariskan ciri-ciri kepimpinan yang perlu diberi perhatian. Antaranya ialah ‘Al Qawiyul Amin’ atau kuat dan amanah. Ini dijelaskan oleh ALLAH di dalam Surah Al-Qasas ayat 26 yang bermaksud: “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.”

Kuat bermaksud mempunyai kemampuan untuk mentadbir dari sudut fizikal dan kesihatannya, kemampuan berfikir dan menyelesaikan permasalahan, mempunyai daya kreativiti yang tinggi, mempunyai kebijaksanaan dan kemampuan melaksanakan keadi-lan kepada semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Manakala amanah pula bermaksud seorang yang boleh dipercayai, tidak mengambil kesempatan dengan kedudukan diperoleh untuk kepentingan peribadi serta menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin, jujur dalam kata-kata dan tidak memungkiri janji.

Selain dari kuat dan amanah, seorang pemimpin yang baik yang patut dipilih adalah mereka yang memiliki ciri-ciri keislaman dan ketakwaan. Pemimpin sebegini akan sentiasa berhati-hati dalam setiap tindak tanduk mereka kerana mereka yakin bahawa setiap tindakan yang diambil akan dipertanggungjawabkan di hadapan ALLAH pada hari akhirat nanti.

Justeru, buatlah pilihan dengan sebaik mungkin kerana setiap undi anda adalah penentu kepada kepimpinan negara yang bakal mencorakkan hala tuju kehidupan masyarakat dan negara. Jika anda tersalah pilih, maka meranalah kehidupan anda sekurang-kurangnya untuk lima tahun akan datang!

DR NIK RAHIM NIK WAJIS
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Sumber: Sinar Harian 

www.indahnyaislam.my

Sertai kempen Malaysia Subuh Berjemaah Bebaskan Al-Aqsa: bit.ly/subuhaqsa

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts