Pendidikan sekular menjadikan masyarakat hidup tanpa pegangan

 

PENDIDIKAN agama adalah sumber utama dalam menanam akhlak yang murni dalam jiwa pelajar. Akhlak yang baik hakikatnya terbina daripada keyakinan kepada Tuhan, yang menuntut seseorang itu bertanggungjawab terhadap perilaku setiap manusia.

Keterikatan antara agama dan akhlak sangat kuat, hingga Nabi SAW menyebut ; “Agama itu adalah perilaku yang baik”, dan dikaitkan juga dosa dengan apa yang kurang disenangi manusia, iaitu akhlak yang buruk, seperti sambungan hadis tadi ; “Dan dosa itu adalah apa yang merisaukan hatimu, dan engkau gusar manusia melihatnya”.

Kefahaman agama akan membentuk kehidupan seorang manusia sebagai satu perjalanan menuju akhirat. Dalam erti kata lain, ia menjelaskan pandangan seseorang dalam pilihan-pilihan hidupnya, kerana dia melihat segala perkara akan membawa kepada suatu pembalasan yang setimpal dalam kehidupannya di akhirat.

Adapun pandangan yang memisahkan antara agama dan nilai murni kehidupan, lalu melihat bahawa agama hanyalah urusan ritual dan peribadi, ia adalah sudut pandangan sekularisme yang memisahkan agama daripada kehidupan.

 

 

Naratif menyalahkan agama adalah naratif yang biasa dimainkan oleh orang-orang munafiq dan orang yang menentang dakwah Rasulullah SAW.

Allah berfirman : “Apabila dikatakan kepada mereka (orang-orang kafir) : Dermakanlah dengan apa yang telah Allah kurniakan kepadamu! Mereka berkata : Adakah kami perlu memberi makan kepada seseorang yang sekiranya Allah mahu, pasti Allah saja yang akan memberi makan kepadanya. Kamu ini hanyalah berada dalam kesesatan yang nyata!” – Surah Yasin, ayat 48.

Dalam kisah Nabi Syuaib, Allah merakamkan kata-kata mereka yang membawa naratif sekularisme ini : “Mereka berkata : Wahai Syuaib, adakah solatmu yang menyuruhmu untuk menghalang kami menyembah nenek moyang kami, dan menghalang kami untuk melakukan apa saja pada harta kami ?” – Surah Hud, ayat 87.

Pengajaran subjek agama Islam kepada masyarakat sejak di awal waktu persekolahan adalah satu perkara yang penting, sesuai dengan aspirasi perlembagaan negara yang menetapkan agama Islam sebagai agama persekutuan. Isu yang timbul apabila dikatakan ia melibatkan pelajar bukan Islam yang kononnya tidak selesa dengan pengajaran subjek itu, sebenarnya adalah satu keperluan agar masyarakat bukan Islam lebih mengenali identiti kebangsaan negara Malaysia sejak awal-awal lagi. Bak kata pepatah, melentuk buluh biar dari rebungnya.

Banyak isu yang timbul berlaku apabila pelajar dan murid tidak dididik sejak dari awal mengenai identiti kebangsaan, seperti Bahasa Melayu, sejarah Malaysia, dan agama Islam, hingga menimbulkan jurang perkauman yang besar, tidak hormat kepada identiti kebangsaan lalu membina naratif kenegaraan yang asing daripada identiti negara Malaysia ini sendiri.

Apabila berlaku permasalahan dalam isu-isu tertentu, sepatutnya kita melihat perkara ini dalam kerangka identiti kebangsaan yang menjadikan Islam, Melayu dan sistem raja sebagai terasnya. Sekiranya guru yang bermasalah, baikilah guru itu, bukan buang pengajaran subjek agama Islam itu. Sekiranya silibus tidak lengkap, maka lengkapkanlah ia dan tubuhkan badan yang menilai kualiti pengajaran agama di sekolah-sekolah. Begitulah seterusnya.

Kita tidak sepatutnya melihat penyelesaian dalam kerangka sekular yang memisahkan agama dari segala cabang kehidupan, kerana hakikatnya pendidikan sekular hanya menjadikan pelajar hilang daripada nilai-nilai akhlak yang murni yang membentuk pertanggungjawaban, hingga akhirnya menjadikan mereka hilang akhlak dan membawa masalah kepada masyarakat.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts