Pengorbanan adalah ruh kepada Islam

 

1. KORBAN berasal dari perkataan Bahasa Arab qaruba – qurban. Asal maksudnya adalah hampir. Rakan karib (qarib) maksudnya rakan baik yang hampir. Akrab (aqrab) maksudnya rapat.

Di dalam al-Quran, korban (qurban) diertikan sebagai pemberian untuk menghampirkan diri kepada Allah.

2. Pengorbanan adalah ruh kepada Islam. Kisah dakwah dan perjuangan semuanya adalah kisah pengorbanan. Bahkan tiada kejayaan dalam apa jua bidang kehidupan tanpa pengorbanan.

3. Allah beri kepada manusia segala sesuatu yang asalnya tidak mereka miliki. Kemudian Allah suruh mereka korbankan semua yang mereka pinjam itu untuk dikurniakan syurga yang jauh lebih hebat. Tetapi manusia ada yang tidak faham lalu menjadi lokek.

4. Ada masa Allah bagi, manusia lokek lalu berkira-kira untuk bagi masa kepada agama Allah. Ada harta Allah bagi, manusia lokek juga tidak mahu infak. Ada pengetahuan Allah bagi, manusia masih lokek juga dan mahu pengetahuan itu eksklusif untuk dirinya sahaja.

5. Mengusahakan diri agar mampu berkorban adalah tanda iman yang hidup dalam diri.

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ

“Kamu tidak akan mencapai kesempurnaan kebaikan (iman dan amal) hinggalah kamu infak (sumbangkan) sebahagian yang kamu sayangi (harta, masa dll) …” (Aali Imran: 92)

6. Pengorbanan terbaik adalah pengorbanan yang menyeluruh.

Imam al-Banna menyebut pengorbanan itu sebagai: “Mengorbankan jiwa, harta, waktu, kehidupan dan segala-galanya demi mencapai matlamat yang dikehendaki.”

Memilih-milih sebahagian yang akan dikorbankan dan lokek terhadap sebahagian yang lain, itu tidak tepat dengan ruh Islam. Allah tidak mahu manusia hanya korbankan jiwa tetapi lokek harta atau korbankan harta tapi lokek jiwa. Bacalah ayat al-Quran dan kita akan mendapati seruan Allah adalah korbankan segalanya.

7. Didiklah jiwa agar mampu berkorban walau bertatih. Buang kecintaan kepada harta dan kepentingan diri sendiri. Humbankan sifat lokek kerana jiwa yang pemurah sahajalah yang akan berjaya.

وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Dan sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat lokek, maka merekalah orang-orang yang berjaya.“ (Al-Hasyr: 9)

اجدر الناس بالكرامة عبدٌ تلفت نفسه ليسلم دينه

“Manusia yang paling layak mendapat kemuliaan adalah seorang hamba yang dirinya hancur agar agamanya hidup.”

Allahul Musta’an

# Al-Fatihah kepada Al-Marhum Dr Muhammad Abd Ghafar Misyali. Seorang doktor perubatan Mesir lulusan tahun 1967. Berkhidmat kepada masyarakat dengan cara memberikan rawatan percuma kepada orang miskin, 10 jam sehari selama 50 tahun. Berazam kepada dirinya tidak akan mengambil wang dari orang miskin setelah peristiwa kematian seorang budak yang tidak mempunyai wang untuk membayar kos rawatan.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts