Peniaga perhiasan al-Quran perlu semak ayat sebelum jual

SEREMBAN: Peniaga perhiasan ayat al-Quran terutama di Nilai 3 di sini perlu bertanggungjawab membuat semakan bagi memastikan tiada kesalahan dari segi ayat atau kandungan teks sebelum dijual kepada pelanggan.

Pengarah Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ahmad Husaini Mustafa berkata, kemungkinan ada dalam kalangan peniaga atau pemborong perhiasan ayat al-Quran tersebut tidak sensitif dengan menggunakan alasan kandungan teks diambil terus dari pembekal. 

“Barang-barang yang sampai perlu disemak terlebih dahulu. Sepatutnya perhiasan ayat al-Quran itu perlu diselia oleh pihak bertanggungjawab seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar tidak berlaku kesalahan.

“Sekiranya ayat salah, maknanya jadi lain, kita gantung perhiasan ini untuk mencantikkan rumah dan lebih parah jika maksudnya lari dari ajaran agama Islam,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Advokasi Peniaga-Peniaga dan Pengusaha Bingkai Ayat Al-Quran Di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Nik Azlan Nik Man dan Pengarah KDN Negeri Sembilan, Mohamad Ridzuan Yusof.

Menurut Ahmad Husaini, peniaga juga diingatkan supaya melupus ayat al-Quran mengikut cara yang betul dan bukannya membuang di merata-rata tempat seperti kejadian di Nilai pada Disember tahu lalu di mana lambakan barangan tersebut ditemui dibuang.

“Jadi, kami minta peniaga mengikut garis panduan yang dikeluarkan Jakim berkaitan adab melupuskan barang dan bingkai mengandungi ayat al-Quran.

“Dengan adanya program advokasi ini, pihak berkaitan dapat memberi kefahaman yang jelas kepada peniaga selain menyuntik kesedaran supaya mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Ridzuan berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, sebahagian peniaga tidak tahu berkenaan kesahihan ayat al-Quran yang dijual di premis mereka. 

“Biasanya, kesilapan yang dikesan pada perhiasan ayat al-Quran ini adalah yang di import dari luar negara dan bukannya dihasilkan di negara ini. 

“Jadi kami nasihatkan peniaga untuk semak perhiasan ayat al-Quran yang dijual dengan membuat rujukan di aplikasi Smart al-Quran yang diluluskan oleh Lembaga Kawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran KDN,” katanya.-UTUSAN.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts