Haram kenakan caj tukar kredit eMadani

KUALA LUMPUR: Mengenakan caj perkhidmatan bagi pertukaran eMADANI kepada bentuk tunai atau pemindahan ke bank simpanan termasuk dalam perbuatan riba yang diharamkan syarak.

Pejabat Mufti Wilayah Kuala Lumpur dalam satu hantaran di laman sosial, Facebook berkata, hasil caj dikenakan daripada pertukaran itu merupakan wang tidak patuh syariah yang haram untuk digunakan.Menurut kenyataan itu, perbuatan mengeluarkan bantuan itu secara tunai dikira menyalahi terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Keredaan si pemberi adalah berdasarkan syarat yang ditentukan. Sekiranya syarat tersebut dilanggar, maka hilang reda atas pemberian tersebut dan mengakibatkan pemberian itu tidak sah mahupun terbatal kerana berlaku tanpa keredaan.

“Perbuatan ini juga dianggap melanggar undang-undang yang mana perkara tersebut ditegah syarak tidak kira transaksi itu melibatkan riba atau tidak,” kata kenyataan itu pada Jumaat.

Sebelum ini, ramai pengguna media sosial mengambil kesempatan terhadap insentif diberikan kerajaan dengan mengenakan caj kepada mereka yang mahu mengeluarkan bantuan itu secara tunai.

Mengulas lanjut, Pejabat Mufti Wilayah Kuala Lumpur memaklumkan bahawa, isu penebusan kredit eMADANI terkait dengan elemen riba yang sudah jelas diharamkan oleh syarak.Melihat kepada situasi dalam pengeluaran tunai bantuan berkenaan, institusi agama tersebut memberitahu terdapat beberapa jenis riba yang telah dikenal pasti berlaku.

“Pertama, ‘riba al-Fadhl’ iaitu riba disebabkan berlaku jual beli yang tidak sama kuantiti sedangkan kedua-duanya daripada jenis item sama.“Seterusnya, ‘riba al-Nasi’ah’ yang berlaku disebabkan terdapat syarat penangguhan dalam penyerahan item ribawi ataupun duit pembayaran secara sengaja kemudian dikenakan caj tambahan,” jelasnya.

Pada masa sama, Pejabat Mufti Wilayah Kuala Lumpur menegaskan, orang ramai wajib untuk mematuhi segala arahan daripada kerajaan selagi ia tidak bertentangan dengan syarak.

Katanya, pihak kerajaan telah melarang sebarang kegiatan penebusan duit eMADANI daripada aplikasi e-dompet untuk membantu perniagaan runcit dan mengelakkan penyalahgunaan wang bantuan serta penipuan. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts