Penyerang masjid di Sinai tiada kaitan dengan Islam: Erdogan

 

ANKARA – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengutuk serangan yang berlaku ke atas jemaah di Masjid Rawdah di Mesir, sehingga mengorbankan 305 orang setakat ini.

Menepis dakwaan serangan yang berlaku mempunyai kaitan dengan Islam, beliau dengan tegas berkata, ia langsung tidak ada kaitan, dan itu hanya dilakukan puak Daesh.

“Serangan berkenaan mensasarkan saudara-saudara kita ketika solat Jumaat. Itu sudah jelas menunjukkan wajah tidak Islam dari Daesh.

“Jadi adakah seperti itu kita mahu gelarkan mereka Islam?,” katanya ketika berucap di konvokesyen pegawai di wilayah barat laut Balıkesir, malam tadi.

Sekurang-kurangnya 305 orang termasuk 27 kanak-kanak terbunuh dalam serangan pada hari Jumaat, yang dipercayai dilakukan kumpulan militan Daesh.

Penyerang didakwa tiba dengan menaiki lima kenderaan, kemudiannya bertindak membakar tujuh kenderaan yang berada di lokasi.

Dalam kejadian itu, bom diletupkan di Masjid Rawdah yang terletak di Bir al Abed, Utara Sinai sebelum kumpulan itu menembak mangsa yang melarikan diri di perkarangan masjid.

Insiden itu dilakukan antara 25 hingga 30 penyerang berambut panjang, berjanggut, namun melakukan penyamaran dengan mengenakan pakaian ala tentera, dengan membawa sepanduk hitam bertulis kalimah suci.

Sementara itu, Presiden Mesir Abdel-Fattah el-Sisi berkata, mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka keadilan.

“Pihak tentera dan polis akan membela kematian saudara kita dan memastikan Mesir kembali selamat dan stabil dalam masa terdekat,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts