Penyusun kamus Melayu-Arab pertama

 

DILETAKKAN sebaris dengan tokoh terkemuka dunia, nama Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi tidak asing lagi dikenali di seluruh Nusantara kerana sumbangannya terhadap perkembangan ilmu terutama di negara ini.

Antara sumbangan terbesar ulama tempatan kelahiran Mesir itu adalah sebagai penyusun kamus Arab-Melayu pertama bagi kegunaan orang Melayu yang ingin mempelajari bahasa Arab atau bahasa al-Quran tersebut.

Kamus tebal berjudul Kamus Al-Marbawi yang diterbitkan pada 1920-an ketika beliau sedang menuntut di Universiti al-Azhar, Mesir itu masih diguna pakai sehingga kini, malah telah diulang cetak tidak kurang sebanyak 24 kali.

 

 

Digunakan secara meluas oleh penuntut-penuntut di Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Nusantara dan di Mesir, kamus itu turut dilengkapi dengan ilustrasi bagi memudahkan proses penerangan dan penjelasan mengenai sesuatu istilah Arab.

Dikatakan, sehingga kini, masih belum ada lagi kamus Melayu-Arab yang dapat mengatasi kehebatan Kamus Al-Marbawi.

Bermula dengan karya pertamanya itu, Syeikh Muhammad Idris mula meneroka bidang penulisan secara lebih serius dan menghasilkan banyak hasil karya agama termasuk Kitab Bahrul Mazi yang membicarakan lebih 8,200 permasalahan agama dan hal ehwal dunia akhirat.

 

 

Kitab tulisan Jawi yang diterbitkan dalam 22 jilid itu merupakan terjemahan dan ulasan lengkap dari sebuah kitab Arab iaitu Sahih Imam Tirmizi, malah diangkat sebagai satu daripada kitab huraian hadis yang terawal di negara ini.

Beliau juga berjaya menghasilkan beberapa tafsir al-Quran dalam bahasa Melayu antaranya adalah Tafsir Quran Marbawi, Tafsir Quran Nurul Yaqin dan Tafsir Surah Yasin.

Selain itu, beliau juga menghasilkan sebuah lagi kitab berbentuk kamus aneka atau ensiklopedia yang lengkap dengan keterangan bergambar dan telah diterbitkan dalam empat jilid.

Beberapa karya lain yang menjadi rujukannya adalah Tafsir Fathul Qadir, Kitab Bulughul Maram, Kitab Jamiul Ulam, Usul Al-Islam, Nizamul Hayah, Mu’jam al-Ka’inat (4 jilid) dan beberapa kitab lain.

TOKOH ULAMA TERULUNG

Berdasarkan sumbangan besar dalam bidang keagamaan dan persuratan umat Islam di Nusantara, kerajaan Malaysia telah memberikan penghormatan tertinggi kepada Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi dengan mengisytiharkan beliau sebagai tokoh ulama negara terulung.

Pada 5 Julai 1980, atas usaha Prof. Datuk Dr. Haron Din dan pihak Senat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah bersetuju agar Allahyarham dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dan anugerah tersebut dikurniakan oleh Canselor UKM pada masa itu, Tunku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman sempena majlis konvokesyen beliau.

Ketika itu, beliau berusia 86 tahun dan diangkat sebagai ulama yang sudah menghasilkan 21 buah karya Islam dalam pelbagai aspek. Enam tahun berikutnya, beliau dinobatkan sebagai tokoh Maal Hijrah Malaysia yang pertama pada 1987 ketika berusia 95 tahun.

Pada 19 April 1988, beliau telah dianugerahkan Pingat Ahli Mahkota Perak (AMP) oleh Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuf Izzuddin Shah sempena hari keputeraan baginda.

Sepanjang hampir 60 tahun berada di Timur Tengah menjalankan kerja dakwah, beliau banyak menjelajah dan menyaksikan pelbagai bentuk kebangkitan Islam. Pengalaman itu digunakan untuk membangunkan generasi muda yang mempunyai pendidikan agama sempurna.

Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Pada 13 Oktober 1989, Jumaat 8.30 pagi, beliau telah kembali ke rahmatullah ketika berusia 93 tahun di Hospital Besar Ipoh, Perak.

Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubok Merbau, Kuala Kangsar, Perak, bersebelahan pusara isteri, Khadijah Mohamad Idham yang meninggal dunia 14 bulan sebelum itu.

Bagi mengenang jasa besar, nama beliau telah diabadikan di sebuah kolej kediaman di UKM, Kolej Idris al-Marbawi, selain namanya juga diabadikan di sekolah tempat beliau menuntut ilmu di Kampung Lubok Merbau iaitu Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd. Idris Al-Marbawi.

Menggunakan wang ganjaran daripada Tokoh Maal Hijrah, jasa Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi diteruskan oleh anaknya dengan menubuhkan sebuah kolej pengajian Islam yang dinamakan Kolej Idris Al-Marbawi Al-Islami di Ipoh, Perak. – Utusan

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts