Peranan Jakim perlu diperkasa

 

BANGI – Kerajaan baharu Pakatan Harapan (Harapan) yang diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa mempertimbangkan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya terus dikekalkan.

Ketua Biro Islamiyat Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Omar Kassim berkata, sehingga kini fungsi Jakim masih relevan sebagai sebuah agensi kerajaan Pusat dalam mentadbir hal ehwal agama Islam di Malaysia.

Serentak itu, beliau mencadangkan supaya fungsi dan peranan Jakim terus dikekalkan, bahkan diperkasakan untuk umat Islam di negara ini.

“Semua peranan lama masih sangat relevan malah pemerkesaan amat diperlukan dalam keadaan umat Islam hari ini.

“Anak-anak ramai membaca al-Quran pun tidak tahu, solat tidak dijalankan penuh dan sempurna, ditambah lagi dengan pelbagai cabaran hedonisme, pornografi, liberalisme, Syiah dan pelbagai lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Omar Kassim berkata, banyak cabaran baharu muncul terhadap umat Islam sejak Jakim ditubuhkan pada Januari 1997, di mana sebelum ini dikenali sebagai Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri (Baheis).

“Itu yang saya sebutkan mengenai pornografi, budaya asing yang masuk melalui teknologi dan media sosial, juga penularan pemikiran sesat dan asing seperti Islam Amerika atau Islam liberal yang mentafsir Islam dengan bukan dalam bentuknya yang asli seperti dibawa Rasulullah s.a.w,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam berhubung status Jakim, sama ada ia akan dikekalkan atau dibubar.

Dalam sidang medianya semalam, Dr Mahathir berkata, setakat ini kerajaan masih belum memutuskan dan membincangkan mengenai peranan organisasi itu.

Katanya, kerajaan akan menghimpunkan barisan ilmuan dan individu yang berpengetahuan dalam bidang agama untuk berbincang mengenai peranan Jakim di negara ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Omar Kassim berharap supaya kerajaan dapat melibatkan beberapa tokoh ilmuan Islam termasuk wakil badan bukan kerajaan (NGO) Islam lain.

“Berkaitan tokoh ilmuan yang akan dikumpulkan, harapnya kerajaan akan membawa masuk tokoh-tokoh ulama seperti Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

“Libatkan juga wakil-wakil NGO Islam yang aktif di lapangan serta memahami tahap sebenar kefahaman Islam dalam masyarakat,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts