Peranan utama tadbir institusi Islam perlu bebas pengaruh politik

Kuala Lumpur: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya peranan utama mentadbir institusi agama Islam diserahkan kepada golongan ulama dan profesional yang bebas daripada sebarang pengaruh parti politik.

Baginda bertitah dalam hal ini, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) berperanan memastikan mereka yang dilantik mampu melaksanakan tanggungjawab selari tuntutan al-Quran dan Sunah Rasulullah SAW.

“Seharusnya syiar Islam diletakkan di tahap yang tertinggi, lebih tinggi daripada persaingan yang mungkin boleh mengakibatkan pertelagahan dan perpecahan ummah,” titah baginda selaku Pengerusi MKI sempena mesyuarat MKI ke-69 di Istana Melawati, Putrajaya kelmarin.

Dalam hal sama, Sultan Sharafuddin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pihak Majlis Raja-raja atas pelantikan Menteri Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri daripada kalangan bukan ahli politik.

Baginda bertitah ia dapat menjamin prinsip pengasingan kuasa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan pentadbiran agama Islam di antara eksekutif dan Raja-raja Melayu dipelihara, sesuai dengan prinsip Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan.

“Dengan pelantikan Menteri Hal Ehwal Agama yang baharu ini adalah diharapkan hubungan kerjasama antara Persekutuan dan negeri-negeri dalam hal pentadbiran agama Islam akan terjalin lebih erat selari ajaran al-Quran dan Sunah Rasulullah SAW,” titah baginda.

Sesungguhnya, titah Sultan Selangor martabat Institusi Raja-Raja Melayu berada di atas sebarang percaturan parti politik kerana Institusi Raja-Raja Melayu ialah pemegang amanah yang menjadi tonggak kesetiaan rakyat.

Baginda turut menzahirkan harapan agar mesyuarat MKI hari ini akan menjadi titik tolak penting dalam usaha mengembalikan peranan mentadbir agama Islam kepada pihak yang berhak.

“Besarlah harapan beta agar semua pihak dapat menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kuasa Raja-Raja Melayu.

“Beta yakin dengan bermulanya lembaran baru ini, Majlis Raja-Raja sebagai suara Raja-Raja Pemerintah di Malaysia dapat memainkan peranan sewajarnya untuk memajukan pentadbiran Islam di peringkat Persekutuan dan membolehkan hubungan lebih akrab dengan negeri-negeri,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga berharap agar setiap wakil rakyat dan menteri akan menumpukan usaha menyelesaikan pelbagai kemelut yang sedang dihadapi rakyat serta mengembalikan kemakmuran dan kegemilangan negara sebagaimana yang telah diamanahkan.

“Beta menyeru agar kesemua pihak memberikan sokongan dan dukungan padu kepada usaha mendaulatkan Islam dan memperkasakan MKI dan meletakkan pentadbiran Institusi Agama Islam di peringkat Persekutuan pada landasan yang sepatutnya.

“Wakil-wakil di negeri masing-masing juga hendaklah mengusulkan apa-apa cadangan yang telah dilaksanakan di peringkat negeri yang sesuai dikongsikan untuk kepentingan bersama bagi negara kita dan umat Islam,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga berpesan kepada ahli MKI supaya menghormati pandangan negeri-negeri dan menjaga hubungan baik Persekutuan dengan negeri-negeri agar pentadbiran agama Islam di negara ini dapat berjalan licin dan penuh persefahaman.

Baginda bertitah bahawa jaminan diberikan perdana menteri untuk tidak mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan mengenai konsep negara sekular adalah bertepatan pada waktunya bagi memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan serius dalam memelihara prinsip Islam berteraskan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.- My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts