home Semasa Perihal solat taubat bagi tidak tunai solat Jumaat ketika PKP

Perihal solat taubat bagi tidak tunai solat Jumaat ketika PKP

 

1. Tular baru-baru ini potongan video seorang pendakwah yang menyarankan untuk solat taubat bagi orang yang tidak menunaikan solat Jumaat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

2. Saya lihat niat beliau cukup baik iaitu mengekalkan ciri-ciri asal keislaman seseorang lelaki muslim yang meninggikan syiar Islam iaitu solat fardu Jumaat dan tidak pula meringan-ringankannya.

3. Saya juga perhatikan sudah ada beberapa pihak yang mengulas isu ini daripada perspektif asas agama sekitar perihal solat taubat dan erti taubat itu sendiri. Saya juga tidak mahu mengulang ulasan yang sama kerana saya juga sependapat dengan ulasan-ulasan mereka.

4. Saya hanya mahu nyatakan bahawa isu solat Jumaat adalah satu pecahan daripada isu utama iaitu wabak COVID-19 yang melanda negara kita bahkan dunia secara keseluruhannya.

5. Allah SWT menyatakan dalam surah An-Nisaa’ ayat 79 bahawa setiap musibah yang menimpa kita adalah kerana kesalahan yang kita lakukan.

6. Dengan kesalahan tersebut, Allah SWT menimpakan kita musibah untuk memberi peringatan kepada kita, bagi mengambil keputusan untuk kembali ke jalan yang benar. Satu sudut yang lain pula, di antara musibah yang berlaku akibat sesuatu kesalahan, adalah hilangnya taufiq daripada Allah SWT untuk kita lakukan kebaikan.

7. Justeru, wabak yang menimpa kesemua umat manusia, sepatutnya memerlukan taubat daripada semua pihak, dan tidak terhad kepada kaum lelaki yang tidak menunaikan solat Jumaat kerana terpaksa ini sahaja.

8. Ini kerana bukan solat Jumaat sahaja tidak dibenarkan (beroperasi secara biasa), bahkan kefarduan haji yang kewajipannya meliputi lelaki dan wanita pun tidak dibenarkan berjalan seperti biasa.

9. Ambillah contoh kisah tiga orang sahabat yang terperangkap dalam gua, masing-masing bertawassul dengan amal soleh masing-masing bagi menyumbang kepada terbukanya pintu gua yang ditutup dengan batu besar. Mereka tidak pula meminta satu pihak sahaja untuk berdoa dan bertaubat dengan sepenuh keikhlasan, tetapi mereka kesemuanya memainkan peranan untuk menghadap Allah SWT dengan pasrah dan tulus.

10. Jadi, hakikatnya semua pihak perlu bertaubat dan kembali kepada Allah SWT agar diangkat wabak ini, lalu kita bersama-sama kembali menunaikan syiar dan tuntutan agama, dari segenap aspek dan perkara, dari sekecil-kecil tuntutan mengalihkan penghalang di tengah jalan, hinggalah ke setinggi-tinggi perjuangan menegakkan kalimah Allah SWT di atas muka bumi ini.

Moga Allah angkat wabak ini, dan pelihara kita daripada fitnah akhir zaman.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Penolong Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *