Perkasa pendidikan Islam, pelihara kebajikan guru KAFA

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menekankan pendidikan sebagai tunjang utama dalam aspek pembangunan modal insan khususnya pendidikan Islam yang harus diperkasa.

Hal demikian dititahkan baginda yang memaklumkan berkenan dengan pembinaan sekolah baharu seperti Maahad Integrasi Tahfiz Selangor di Pandan Indah, Hulu Langat; Sekolah Rendah Agama Denai Alam, Shah Alam dan Sekolah Rendah Agama Country Homes, Gombak.

“Perbelanjaan pembinaan Sekolah Rendah Agama dan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor yang menelan belanja RM22 juta ini adalah bukti komitmen kerajaan beta bagi memastikan agenda pendidikan Islam terus diperkasa,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Pembukaan Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14 hari ini.

Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan lebih 10,000 atau 50 peratus pelajar pusat tahfiz di seluruh negara tercicir dalam pengajian mereka ekoran pelaksanaan tiga siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu hingga kini.

Keadaan itu menyebabkan pelajar tahfiz tidak dapat mengikuti pengajian dengan sempurna kerana pembelajaran secara maya mengundang pelbagai masalah. Ketika ini terdapat 1,480 pusat tahfiz di seluruh negara dengan melibatkan 21,000 pelajar.

Dalam pada itu, selain penekanan terhadap pendidikan, Sultan Sharafuddin turut menekankan kepentingan menjaga dan memelihara kebajikan guru-guru selain pusat tahfiz seperti Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA).

“Beta juga amat berkenan dengan langkah kerajaan negeri memperkenalkan caruman Pertubuhan Kebajikan Sosial Pekerja (Perkeso) kepada 4,200 guru KAFA yang menelan belanja RM1.1 juta. Langkah ini bagi memastikan kebajikan warga pendidik terus dijamin dan dipelihara.

“Beta juga ambil maklum kenyataan Memanda Dato’ Menteri Besar baru-baru ini bahawa guru-guru KAFA dan Jabatan Agama Islam (JAIS) akan diutamakan bagi pemberian vaksin bagi memastikan kesihatan mereka dipelihara dan memudahkan sesi pembukaan sekolah tidak lama lagi,” titahnya. – Utusan

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts