Perlis mula rapatkan saf jemaah masjid dengan SOP ketat

Arau: Walaupun Perlis sudah membenarkan jemaah masjid merapatkan saf ketika solat fardu, namun prosedur operasi standard (SOP) perlu sentiasa dijaga bagi mengekang penularan Covid-19.

Timbalan Pengerusi merangkap Imam II Masjid Negeri Arau, Zubair Abdullah berkata, dengan kelonggaran yang dibenarkan oleh MAIPs setelah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ia diharapkan dapat memberi peluang kepada masyarakat terutama di kawasan sekitar Arau untuk menunaikan solat di masjid berkenaan.

“Pelaksanaan solat jemaah dengan saf dirapatkan ini sudah bermula sejak solat Subuh lagi dengan mengambil kira sejadah jemaah bersaiz ‘standard’ itu dirapatkan di ruang solat.

“Walaupun saf dirapatkan, jemaah tetap perlu mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri bersaiz standard, mengambil wuduk sebelum ke masjid dan mengimbas suhu badan.

“Selain itu, mereka juga perlu melaksanakan mengimbas aplikasi MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan,” katanya ketika ditemui selepas solat Zohor di Masjid Negeri, di sini, kelmarin.

Pada 6 Januari lalu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dilaporkan bertitah, semua masjid di seluruh Perlis akan mula solat berjemaah dengan merapatkan saf, berkuat kuasa solat Subuh hari ini.

Keputusan itu mendapat limpah perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa Covid-19 di negeri ini.

Zubair berkata, sebelum pelaksanaan solat dengan saf dirapatkan ini kehadiran sekitar 200 hingga 250 orang, namun ia dijangka meningkat lebih 300 jemaah terutama ketika solat Isyak.

“Alhamdulillah, perkembangan ini menjadikan Perlis sebagai negeri pertama di negara ini yang menjalankan solat dengan ketetapan baru ini,” katanya.

Sementara itu, seorang jemaah, Mohamad A Rahman, 80, dari Jalan Raja, di sini berkata, perkembangan itu sangat positif bagi memberi peluang kepada rakyat Perlis untuk beribadah di masjid.

“Apa pun SOP mesti terus dijaga agar penularan Covid-19 ini dapat dicegah.

“Malah, segala apa yang sudah ditetapkan oleh kerajaan juga perlu diteruskan sehingga keadaan pandemik ini dapat dikurangkan,” katanya. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
1
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts