Perlu reformasi undang-undang jenayah agar tepati prinsip Islam

Bangi – Sudah tiba masanya semakan menyeluruh dilaksanakan ke atas undang-undang jenayah Persekutuan supaya menepati syariah, kata Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof.

Beliau menyuarakan pandangan itu susulan kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bahawa tiada bezanya Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil kerana kedua-dua sistem melaksanakan hukuman takzir.

Tengku Maimun dipetik sebagai berkata: “Mahkamah Syariah di Malaysia, setakat hari ini, tidak melaksanakan hukuman hudud atau qisas, hanya takzir. Mahkamah Sivil juga melaksanakan hukuman takzir. Sebegitu, tidak ada bezanya Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil kerana kedua-dua sistem Syariah dan Sivil melaksanakan hukuman takzir.

Perbezaannya cuma hukuman takzir yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah adalah bersumberkan atau mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di peringkat negeri dan diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri manakala hukuman takzir yang dilaksanakan oleh Mahkamah Sivil adalah mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di peringkat Persekutuan yang diluluskan oleh Parlimen.”

Muhammad Fathi berkata, kenyataan Ketua Hakim Negara ini mengesahkan bahawa kerajaan Persekutuan mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan takzir yang merupakan salah satu aspek dalam undang-undang jenayah Islam, selain hudud dan qisas.

“Memandangkan hudud dan qisas di luar bidang kuasa negeri, maka tanggungjawab melaksanakan hudud dan qisas juga terletak pada kerajaan Persekutuan.

“Berdasarkan keputusan ini kita desak agar satu reformasi menyeluruh dibuat ke atas undang-undang jenayah di Malaysia agar sepenuhnya menepati prinsip Islam, sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Hakim Negara menegaskan petisyen yang dikemukakan seorang peguam dan anaknya tiada kena mengena dengan isu kesucian Islam atau kedudukan mahkamah syariah di negara ini.

Beliau menjelaskan, pihak yang mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dan mahkamah sivil yang membenarkan petisyen mereka, tidak boleh dianggap menentang Allah SWT.

“Peruntukan yang dipertikaikan itu bukan ditetapkan oleh Allah SWT, sebaliknya digubal oleh Badan Perundangan Negeri Kelantan, jika mahkamah sivil membenarkan cabaran ini, pihak yang mencabar dan mahkamah sivil tidak boleh dikatakan menentang Allah.

“Mahkamah syariah atau undang-undang Islam di Malaysia tidak akan pada bila-bila masa berkubur atau diletakkan `batu nisan’ seperti yang didakwa peguam Yusfarizal Yussoff.

“Ditegaskan sekali lagi bahawa apa yang dicabar dalam petisyen bukanlah kedudukan undang-undang syariah kerana dakwaan pempetisyen adalah khusus terhadap tindakan Badan Perundangan Negeri Kelantan yang didakwanya melangkaui kuasa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpendirian, tidak timbul isu mahkamah sivil tidak mempertahankan kedudukan agama Islam atau tidak memperkasakan mahkamah syariah.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts