Pesta gay: Kerajaan wajib cegah kemungkaran terbuka

Kuala Lumpur: Kerajaan wajib mencegah dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melakukan kemungkaran secara terbuka.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin berkata, perbuatan itu jika dibiarkan berleluasa akan merosakkan moral generasi muda, memberikan penghinaan kepada Islam dan mendatangkan kemungkaran Allah SWT.

“Tindakan ini tidak menghormati kedudukan Perkara 3 (1), Islam sebagai agama Persekutuan dan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Bukan setakat kita meraikan kemajmukan masyarakat dalam hubungan harmoni, jadi aspirasi negara dan masyarakat Madani ini juga perlu memberikan perhatian kepada salah satu elemen penting dalam pembinaan negara Islam iaitu menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran.

“Selain menjadi barah sosial terutama kepada anak muda, setiap kemungkaran ini jika tidak ditegah dan dikawal akan mengundang kemurkaan Allah SWT dan hilangnya keampunan, rahmah dan keberkatan kepada sesebuah negara,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai penganjuran pesta melampaui batas seperti seks liar dan arak serta kewujudan pusat urut gay di negara ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga AJK Fatwa Negeri Kedah dan Pulau Pinang berkata, PUM mendesak kerajaan menggunakan kuasa sebagai pemerintah negara untuk mengambil tindakan tegas terhadap isu itu.

“Kerajaan menerusi kementerian berkaitan mahupun pihak berkuasa tempatan wajib ambil tindakan tegas kerana kemungkaran ini membabitkan semua orang (masyarakat) sebab dilakukan secara terbuka.

“Kalau tak boleh basmi secara keseluruhan, sekurang-kurangnya meminimumkan kemungkaran ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Jabatan Imigresen menyerbu sebuah pusat urut gay di ibu negara yang menawarkan khidmat seks songsang menerusi iklan di laman sosial, WhatsApp dan Telegram.

Pada masa sama, Polis Johor membuka kertas siasatan selepas poster penganjuran pesta seks liar, Gang Bang JB Party yang dijadualkan berlangsung 20 Jun ini tular di media sosial. -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts