Petisyen bukan lemahkan kuasa mahkamah syariah, burukkan Islam

Putrajaya: Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan isu dalam pendengaran petisyen bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 bukan mengenai memburuk-burukkan agama Islam atau melemahkan kuasa mahkamah syariah.

Tengku Maimun yang mempengerusikan panel sembilan Hakim Mahkamah Persekutuan berkata, isu yang timbul melalui sebahagian daripada petisyen itu adalah sama ada Dewan Undangan Negeri Kelantan mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan dipertikaikan.

Beliau berkata, panel mengambil langkah membuat pemerhatian itu kerana begitu banyak yang diperkatakan oleh orang ramai dan kebanyakan versi adalah diputarbelitkan daripada isu sebenar.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada kenyataan dibuat peguam Yusfarizal Yusoff yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu selaku peguam pemerhati di luar mahkamah, September lalu.

Perkara itu ditimbulkan oleh peguam Datuk Imtiaz Malik Sarwar yang mewakili pempetisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan di awal prosiding petisyen berkenaan.

Tengku Maimun berkata, semua pihak perlu memahami latar belakang kes dan menggesa terutama pihak terbabit secara langsung dalam petisyen itu supaya mengelak daripada menyebarkan maklumat diputarbelitkan bagi mengelakkan salah tanggapan di kalangan orang ramai.

“Kami ingin mengingatkan peguam bahawa anda terikat dengan etika profesion anda dan anda tahu adalah tidak wajar untuk membincangkan kes di forum awam, lebih-lebih lagi untuk mendedahkan fakta penuh kes.

“Kenyataan bahawa mahkamah syariah akan berkubur di Malaysia adalah tidak benar. Peguam juga gagal mendedahkan fakta bahawa pempetisyen sebenarnya menimbangkan dua daripada 20 peruntukan itu adalah dalam bidang kuasa negeri Kelantan, bermakna ia di bawah mahkamah syariah.

“Kami mengingatkan semua orang khususnya peguam untuk menegakkan undang-undang dan bukan untuk memainkan sentimen yang menghasut orang ramai,” katanya.

Panel turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts