Jumaat lepas Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dilaporkan berkata, karektor Pokemon dan aplikasi permainan Pokemon Go tidak dibenarkan untuk umat Islam atas faktor ‘maslahah’ dan kemudaratan.

Keputusan itu katanya, hasil mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 1 Ogos.

Semalam, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor dilaporkan berkata, permainan Pokemon Go lebih banyak mendatangkan kemudaratan berbanding kebaikan.

Katanya, kajian dibuat Jabatan Mufti Pulau Pinang sebelum ini juga menunjukkan aspek negatif permainan itu melebihi perkara positif.

Asyraf Wajdi berkata, sebagai umat Islam, mereka yang terlibat perlu mempunyai cara yang lebih terhormat dalam menyatakan pendapat.

Bukan meremeh sesuatu perkara seperti yang terjadi dalam isu ini di media sosial, kata beliau.

Beliau berkata: “Mufti telah memberikan pandangan dan hukum agama maka kita hormatlah ia walaupun ia tidak diwartakan sebagai fatwa dan tidak ada kuasa perundangan”.

Dalam pada itu, beliau berkata, bukan semua orang boleh mengeluarkan fatwa atau pandangan mereka dalam isu berkaitan Islam selain golongan mufti di setiap negeri.

“Hari ini ada kecenderungan muncul ustaz segera di Facebook, WhatsApp dan Instagram yang mengeluarkan pelbagai ‘fatwa’ baharu yang tidak berasas dan ia boleh mewujudkan keadaan kelam-kabut,” katanya.