PPZ-MAIWP lancar kempen potongan zakat bulanan

 

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) pada Isnin melancarkan kempen pembayaran zakat pendapatan melalui Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) bagi meningkatkan kesedaran umat Islam mengenai kewajipan membayar zakat.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, kempen yang bermula bulan ini hingga Disember itu juga bertujuan menarik lebih ramai petugas swasta dan kerajaan khususnya di Wilayah Persekutuan untuk menunaikan zakat secara bulanan melalui potongan gaji.

Beliau berkata, kempen itu terbuka kepada semua pembayar zakat sama ada pembayar baharu atau yang berhasrat menambah jumlah potongan zakat, dan pihaknya menganggarkan setakat ini 30 peratus penduduk di Wialyah Persekutuan yang layak menunaikan zakat masih belum menunaikan tanggungjawab mereka.

“Manusia sentiasa alpa. Melalui kempen berterusan ini ia akan dapat memberi kesedaran kepada mereka, kini adalah masa yang sesuai untuk kita yang masih mempunyai pendapatan untuk tampil membantu mereka yang kurang bernasib baik.

“Jika kutipan zakat meningkat maka lebih ramai asnaf dapat disantuni,” katanya dalam sidang media secara maya selepas melancarkan kempen Skim PZB secara dalam talian pada Isnin.

Abdul Hakim berkata, PPZ menetapkan sasaran kutipan RM800 juta pada tahun ini dan daripada jumlah itu RM6 juta disasar dikutip daripada 5,500 pembayar zakat melalui PZB.

Sementara itu, beliau berkata, PPZ dengan kerjasama MAIWP telah menyalurkan bantuan kira-kira RM40 juta kepada 77,210 penerima di bawah Program MAIWP Prihatin-Kasih Asnaf 3.0.

“Agihan ini di luar bantuan bulanan yang biasa kami berikan. Kami juga berjaya mengagihkan bantuan kepada kira-kira 6,000 keluarga di 19 lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Wilayah Perseketuan sebanyak RM 1 juta,” katanya.

Untuk rekod, jumlah penerima bantuan zakat yang terdiri daripada ketua keluarga meningkat 35 peratus daripada 43,353 asnaf pada tahun 2019 kepada 59,419 pada tahun 2020 manakala bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 sahaja, jumlah penerima bantuan zakat ialah sebanyak 47,483 penerima. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts