Program bersih masjid tarik minat masyarakat bukan Islam

 

TANGKAK – Program bersih Masjid Sultan Ismail, Tanjung Agas, di sini yang pertama kali dianjurkan turut menarik minat penduduk bukan Islam daerah ini untuk bersama-sama membersihkan kawasan masjid itu.

Pengerusi Pusat Aktiviti Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Cawangan Muar Edi Tan Abdullah berkata program itu menjadi jambatan persaudaraan antara masyarakat Melayu dan mualaf dengan masyarakat Cina.

“Bagusnya ada program ini, kita dapat melakukannya dalam suasana muafakat dan muhibah tanpa mengira agama dan bangsa.

“Pendekatan seperti ini akan membantu mereka memahami lebih mengenai Islam dan menangkis persepi negatif selama ini,” katanya kepada Bernama pada program itu di sini.

Program disertai lebih 300 sukarelawan itu bermula 8 pagi dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak antaranya Majlis Daerah Tangkak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Tangkak, Pejabat Kadi Daerah serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Anak Jati Muar dan Lions Club.

Seorang daripada sukarelawan, Kong Jit Hong, 30, berkata beliau mengambil peluang itu kerana mahu terlibat dalam aktiviti kesukarelaan terutamanya yang menjurus kepada aspek menjaga kebersihan dan alam sekitar.

“Tidak kira mana agama sekalipun, amat menitik beratkan soal kebersihan, jadi saya mengambil tanggungjawab itu,” katanya yang pertama kali ke Masjid Sultan Ismail walaupun sudah lama menetap di daerah itu.

Sementara itu, pengarah program, Azharidzuan Abu Bakar berkata idea bersih masjid tercetus selepas penglibatan beliau dalam program bersama NGO Komunti Cuci Masjid (KCM) yang melaksanakan program kebajikan di masjid-masjid di Kuala Lumpur sejak 2010.

“Apabila menetap di Muar dan bekerja di sini sejak lima tahun lalu, saya mahu wujudkan suasana cuci masjid secara kerap di sini seperti apa yang dilakukan di Kuala Lumpur.

“Selain itu, saya mahu masjid ini diimarahkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan supaya orang ramai lebih kerap datang walaupun lokasinya jauh sedikit dari kawasan perumahan,” katanya. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts