Proses gubal Akta Keharmonian Nasional perlu libatkan ulama, NGO Islam: Timbalan Mufti

 

BANGI – Proses penggubalan Akta Keharmonian Nasional perlu membabitkan ulama, NGO Islam, peguam Muslim dan ahli akademik.

Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim menegaskan, perkara itu wajar demi menjaga tonggak asas negara, iaitu Islam sebagai agama Persekutuan dan juga agama Islam adalah di bawah kuasa Sultan dan negeri.

Tanpa menidakkan usaha baik penggubalan undang-undang berkenaan untuk menjga perpaduan, Ustaz Zamri bagaimanapun berkata, hasil penelitian mendapati ada beberapa perkara pokok yang masih perlu diperhalusi oleh kerajaan.

“Antaranya wujud elemen menyamaratakan Islam dengan agama lain dan kuasa yang diberikan kepada Suruhanjaya Keharmonian menerusi akta itu cukup besar apabila mereka tidak boleh dikenakan tindakan mahupun disaman.

“Mereka seperti ada imuniti atau kuasa besar sehingga boleh menyentuh isu berkaitan agama Islam.

“Kuasa mereka boleh menggugat agama Islam yang hakikatnya di bawah kuasa negeri-negeri serta Raja-Raja Melayu,” katanya dalam artikel yang disiarkan di BH Online.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Islam telah diberikan hak dan kedudukan istimewa oleh Perlembagaan tetapi Islam tidak pula menyekat hak kebebasan mengamalkan agama bagi penganut agama lain.

“Bagaimanapun, ia tidak bermakna kebebasan itu mutlak kerana ia masih tertakluk kepada Perkara 11(4) yang menyekat penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan umat Islam.

“Kebebasan hak asasi manusia turut dijamin Perlembagaan di bawah Bahagian II. Namun, ia tertakluk pula kepada syarat tertentu seperti ketenteraman awam, kesihatan awam dan prinsip moral yang juga hak awam,” katanya.

Akta Keharmonian Nasional adalah rang undang-undang baharu yang dicadang bagi menggantikan Akta Hasutan 1948, yang akan dimansuhkan.

Terdahulu, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang mewakili lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam membantah sekeras-kerasnya penggubalan Akta Keharmonian Nasional yang mengugat kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Ketua Sekretariat Ummah, Amin­uddin Yahaya berkata, pihaknya yang telah memperhalusi draf akta berkenaan dan mendapati ia mengandungi elemen-elemen yang menyamaratakan kedudukan Islam dengan agama-agama lain.

Serentak itu, beliau berkata, pihaknya yang turut dianggotai ramai peguam boleh mencadangkan akta lain yang lebih bagus untuk kebaikan semua. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts