Pulau Pinang mahu wartakan fatwa kekang hina Islam dan nabi

Butterworth: Pulau Pinang akan mewartakan fatwa bagi mengekang perbuatan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW supaya tidak ada mana-mana individu di negeri ini mempersendakan agama sebagai bahan gurauan pada masa akan datang.

Mufti negeri, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata perbuatan menghina agama Islam dan peribadi Nabi Muhammad SAW tidak boleh diterima serta memerlukan pihak berkaitan undang-undang mengambil tindakan segera memastikan perkara itu tidak berulang.

Katanya, dari segi kefatwaan juga usaha menyekat perbuatan berkenaan perlu diambil bagi memastikan masyarakat berjaga-jaga dengan setiap tingkah laku mereka.

“Kita akan mengadakan perbincangan mengenai isu ini (hina Islam dan Nabi Muhammad SAW) dalam masa terdekat. Apbila keputusan dibuat nanti, fatwa berkenaan akan digazetkan yang ia perlu dipatuhi umat Islam di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Seminar Isu Kefatwaan Negeri Pulau Pinang yang dianjurka dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Perai, di sini, semalam.

Terdahulu, tular satu video di media sosial memaparkan perbuatan seorang lelaki menghina serta mempersendakan agama Islamdan Nabi Muhammad SAW dengan kata-kata makian.

Bagaimanapun, suspek berusia 39 tahun itu ditahan pada jam 12.30 tengahari kelmarin di sebuah rumah di Taman Bukit Kuchai, Puchong, Selangor.

Semalam, seorang lagi lelaki yang dikesan positif dadah yang memuat naik kandungan video menghina agama Islam turut diberkas polis dalam serbuan di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, Machang, Kelantan.

Dalam pada itu, Wan Salim berkata, secara keseluruhannya Pulau Pinang kini sudah mewartakan 71 fatwa membabitkan pelbagai isu yang berlaku di negeri ini.

Menurutnya, dalam beberapa isu Pulau Pinang antara negeri yang agak terlewat dalam mengeluarkan fatwa berbanding negeri-negeri lain dalam sesetengah isu kerana terlalu berhati-hati dan terikat dengan pandangan atau kitab lama.

“Contoh isu fatwa yang kita agak terlewat berbanding negeri lain adalah berkaitan pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) serta isu pelantikan wanita sebagai hakim di Mahkamah Syariah.

“Fatwa pelaburan ASB dan ASN di negeri lain seperti Kelantan sudah lama mereka keluarkan, tetapi kita baharu sahaja diwartakan dua tahun lalu, termasuk juga dengan fatwa pelantikan wanita sebagai hakim di Mahkamah Syariah yang kita turut terlewat berbanding negeri-negeri lain.

“Sebabnya, mungkin kerana mufti sebelum saya (Datuk Seri Hassan Ahmad) terlalu cermat dan berhati-hati dalam membuat keputusan,” katanya.

Wan Salim berkata, beliau berharap pada masa akan datang tidak akan berlaku lagi kelewatan dalam mengeluarkan fatwa dalam sesuatu isu di negeri ini demi memberi kemudahan serta manfaat kepada masyarakat.

“Saya harap masa akan datang, kita tidak lagi lewat untuk keluarkan fatwa dalam sesuatu isu berbanding negeri lain kerana kita mahu memberi kemudahan kepada umat Islam.

“Bila ada sikap terlalu berhati-hati banyak perkara lambat diselesaikan dan saya pula tidak mahu orang melihat agama Islam ini susah. Oleh itu, perlu cari jalan supaya ia dapat diselesaikan dengan selamat, tidak terang-terangan melanggar agama dan melihat dalil yang menepati kehendak agama bagi setiap isu,” katanya. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts
Read More

Semut pun ada arahan PKP

  1. PERHATIKAN bagaimana Allah mengabadikan kisah semut yang berusaha menyelamatkan ahli dari ditimpa kebinasaan. Firman Allah: قَالَتْ…