Pusat kuarantin bukan lubang tahi

 

1. HARIAN Metro semalam melaporkan kewujudan kluster terkini yang disifatkan sebagai kluster kayangan. Mereka adalah kumpulan rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara. Disifatkan sebagai kluster yang menjengkelkan kerana mengherdik pihak petugas kesihatan dengan kata-kata yang menghina seperti memanggil mereka anjing atau pencacai najis.

2. Sebahagian mereka turut merungut dengan kemudahan yag disediakan oleh kerajaan. Ada yang menyifatkan pusat kuarantin kerajaan seperti lubang taik. Malah ada yang menyatakan bilik yang disediakan buat mereka tidak sesuai untuk binatang duduk, apatah lagi manusia.

3. Begitulah Allah mendidik kita dalam situasi yang tenat pada hari ini. Ingatkah kita bagaimana Iblis dihalau kerana sifat sombong dan egonya. Iblis memandang rendah kepada makhluk lain dek kerana merasakan dirinya lebih tinggi dan mulia. Lalu dia dilaknat sehingga hari kiamat.

4. Ingatkah kita bagaimana Allah menenggelamkan Firaun, menamatkan riwayatnya dalam keadaan yang hina. Allah menyifatkan Firaun sebagai sombong kerana merasakan dia hebat bersama tenteranya. Firman Allah:

وَاسْتَكْبَرَ هُوَ وَجُنُودُهُ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ

“Dan Firaun merasa sombong dia dan tenteranya di atas muka bumi dengan jalan yang batil.” (al-Qasas: 39)

 

 

5. Ingatkah kita bagaimana Qarun ditimbus oleh Allah bersama dengan hartanya kerana bersifat sombong dek kerana kekayaannya. Firman Allah:

فَخَسَفْنَا بِهِ وَبِدَارِهِ الْأَرْضَ فَمَا كَانَ لَهُ مِن فِئَةٍ يَنصُرُونَهُ مِن دُونِ اللَّهِ

“Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah” (al-Qasas: 81)

6. Perhatikan disini bagaimana pangkat, kekuasaan, ilmu dan kekayaan menjadikan manusia ego dan sombong. Dengan itu Rasulullah mendidik kita agar menjauhi sifat sombong. Rasululah menyifatkan sombong sebagai penyakit miskin jiwa.

7. Suatu hari Rasulullah bertanya kepada Abu Zar. Wahai Abu Zar, apakah engkau melihat orang yang kaya itu disebabkan hartanya yang banyak? Lalu Abu Zar menjawab: Ya! Rasulullah membetulkan kefahaman ini lalu berkata:

إِنَّمَا الْغِنَى غِنَى الْقَلْبِ، وَالْفَقْرُ فَقْرُ الْقَلْبِ

“Sesungguhnya kaya yang sebenar adalah kaya jiwa, dan miskin yang sebenar adalah miskin jiwa.” (HR Ibn Hibban)

8. Atas sebab itu kita perhatikan pada hari ini ada orang yang kaya tetapi masih berhutang dan menambah hutang. Jiwa mereka tidak pernah cukup. Inilah yang dikatakan miskin jiwa. Lebih malang lagi sekiranya miskin akhlak. Sudahlah dipandang hina disisi Allah, dipandang jelek pula disisi manusia.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts