Qari Malaysia juarai pertandingan tilawah antarabangsa di Kuwait

 

SEPANG: Perbezaan hanya satu markah dengan pesaing terdekat membolehkan qari Malaysia, Azraie Abdul Hak, muncul juara Pertandingan Tahfiz, Tilawah dan Qiraat al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-9 di Kuwait.

Beliau mengungguli pertandingan berlangsung dari 10 April hingga semalam yang membabitkan penyertaan lebih 120 peserta dari 76 negara.

Azraie berkata, pada pertandingan itu, rezeki sangat memihak kepadanya apabila mendapat 96 markah, manakala peserta dari Iran meraih 95 markah.

Katanya, semua peserta memberi saingan sengit dan beliau perlu berhati-hati ketika mengalunkan ayat al-Quran kerana sedikit kesilapan sahaja boleh menyebabkan dirinya tersingkir.

“Peserta diberikan satu halaman ayat al-Quran dan perlu membacanya dalam tempoh lapan minit. Ini bermaksud peserta tidak boleh membaca dengan tempo terlampau laju atau perlahan.

“Jika peserta baca kurang atau lebih daripada lapan minit, juri akan memotong markah. Selain itu, kami tidak boleh salah dalam bacaan kerana secara tidak langsung akan disingkirkan,” katanya ketika ditemui media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Azraie membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah KUD 5,000 (RM64,857) dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Emir Kuwait, Sheikh Sabah Al Ahmad Al Jaber Al Sabah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ini bukan pertandingan kali pertamanya di luar negara, sekali gus menjadi kelebihan kepada beliau untuk mengambil hati juri.

“Disebabkan sering mengikuti pertandingan, saya tahu kehendak juri. Pengalaman mengikuti pertandingan yang lalu membuatkan saya terus memperbaiki mutu persembahan.

“Syukur, walaupun ia bukan penyertaan pertama peserta Malaysia pada pertandingan ini, saya dapat memberi sedikit sumbangan kepada negara. Kali terakhir Malaysia menang dalam pertandingan ini ialah pada 2016 melalui penyertaan rakan saya, Abdul Khair Jalil,” katanya.

Azraie yang berasal dari Melaka, sebelum ini dinobatkan naib juara qari pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 2018/1439H yang berlangsung awal bulan ini. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts