Aplikasi teori asabiyyah Ibn Khaldun dalam menjamin kestabilan Malaysia

 

Setelah 61 tahun kemerdekaan dengan kemakmuran dan kedaulatan yang telah Malaysia kecapi, kini Malaysia sedang memasuki satu fasa baharu perubahan ‘social fabric’ dengan kemunculan arus post modernism dan ‘identity politics’ yang sedang membentuk arah tuju baharu Malaysia dan sedang menguji ketahanan identiti nasional bangsa Melayu dan Malaysia secara keseluruhannya.

Juga, era globalisasi ini memberikan banyak cabaran dalam memperkukuh kesatuan kaum, hubungan keluarga dan hubungan sosial manusia dengan kehadiran teknologi yang semakin melunturkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat terutama masyarakat Islam Melayu dengan petunjuk pelbagai kebejatan sosial dikalangan pemuda Melayu.

Teori Asabiyyah Memperkukuh Negara

Teori asabiyyah yang diperkenalkan oleh seorang pemikir Islam iaitu Ibn Khaldun memainkan peranan penting bagi memperjelas hala tuju dan pembinaan negara yang kukuh. Asabiyyah sering kali dikonontasi sebagai satu perkataan yang keji dan negative didalam minda masyarakat sehinggakan menafikan terus sifat asabiyyah dalam pembinaan negara. Perlu dijelaskan bahawa asabiyyah merupakan satu sifat semula jadi yang wujud dalam manusia dan masyarakat.

Asabiyyah yang dibawa oleh Ibn Khaldun merupakan asabiyyah yang dibawa dalam kerangka Islam berbeza dengan kerangka asabiyyah jahiliyyah iaitu membantu ahli keluarga, kaum secara membuta dengan melindungi mereka ketika mereka melakukan kezaliman. Asabiyyah yang dibawa Ibn Khaldun mempunyai erti kata yang lebih luas dan fundamental kukuh bagi pembinaan negara.

Asabiyyah bukanlah boleh secara mudahnya disebut sebagai perasaan melampau perkauman atau kekitaan. Ini jelas sekali tidak menepati maksud assabiyah Ibn Khaldun. Bahkan mendefinisikan asabbiyah secara simplistik sebagai sikap perkauman yang melampau atau sifat yang buruk adalah satu kesilapan besar dalam memahami hakikat sebenar asabiyyah yang dimaksudkan Ibn Khaldun. Juga asabiyyah bukan bermakna menindas kaum lain serta mencabul hak mereka.

Asabiyyah yang dibawa Ibn Khaldun bererti satu perasaan kekitaan, satu perasaan kecintaan hubungan disebabkan kekeluargaan, pertalian darah atau pertalian perkauman, Frank Rosenthal menterjemahkan asabiyyah sebagai ‘social cohesion’ dan lebih tepat asabiyyah boleh disebut sebagai satu pengikat yang mengikat keluarga, kaum, masyarakat yang akhirnya membawa kepada pembinaan satu negara kemudiannya tamadun yang maju. Asabiyyah ini penting bagi menyusun sturktur kehidupan secara beroganisasi yang mengelakkan dari berlaku ketidak aturan dalam masyarakat.

Asabiyyah ini jika dianalisis secara induktif pula boleh dibahagi kepada empat peringkat dalam pembinaan negara yang kukuh dan makmur. Malah menurut Ibn Khaldun, bangsa yang mempunyai asabiyyah yang lewah akan ‘ditawan’ oleh bangsa yang mempunyai asabiyyah yang kuat. Peringkat pertama asabiyyah yang paling lemah didalam negara, adalah hubungan hasil kenegeraan iaitu kerana hidup didalam satu negara yang sama.

Asabiyyah ini merupakan pengikat sosial yang paling rapuh dan mudah digoyahkan. Asabiyyah peringkat kedua pula adalah hubungan pertalian darah dimana hubungan ini merupakan satu sifat semula jadi dalam setiap manusia yang mengikat hubungan ibu dan anak, suami dan isteri, adik beradik dan sebagainya.

Peringkat ketiga adalah hubungan diasaskan oleh bangsa. Hubungan ini seringkali disalah ertikan sebagai menidakkan hubungan terhadap bangsa lain. Ini adalah salah satu bentuk idea yang cuba diserapkan semenjak zaman kolonialisasi bagi meruntuhkan perpaduan bangsa. Perpaduan bangsa menurut konsep Ibn Khaldun adalah satu bentuk hubungan yang utuh dan menjadi tapak kepada tertubuh tamadun maju.

Tanpa hubungan ini, kuasa sosial negara akan runtuh dan berlaku ketidakstabilan dalam sesebuah negara dan akhirnya menuju kepada keruntuhan peradaban. Peringkat keempat asabiyyah adalah berasaskan agama dan bangsa. Asabiyyah agama perlu di ikat dengan asabiyyah bangsa kerana kedua-duanya memerlukan satu sama lain dan ketidakseimbangan diantara keduanya akan menjatuhkan sesebuah tamadun atau negara.

Keempat peringkat asabiyyah ini merupakan ‘positive asabiyyah’ yang perlu dijadikan pemangkin kepada pembentukan negara. Mengiktiraf bahawa wujud asabiyyah ini adalah langkah pertama mengenal pasti langkah terbaik bagi mengurus negara pelbagai bangsa. Langkah seterusnya adalah membentuk ‘social-organisation’ berdasarkan kesemua asabiyyah ini tanpa menjadikan negara sebagai ‘melting pot’ kerana boleh mencetuskan barah dalam jangka masa panjang.

Aplikasi di Malaysia

Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai jenis bangsa. Memasuki era milenial ini, Malaysia menghadapi cabaran ketahanan dari segi rupa bentuk sosial negara dan asas agama dalam negara. Pasca PRU-14 ini menunjukkan indikasi bahawa populism dan ‘identity politics’ golongan minoriti semakin mendapat tempat didalam rupa bentuk sosial negara. Malah usaha kerajaan sebelum ini yang cuba menjadikan Malaysia sebagai ‘melting pot’ adalah satu usaha yang semakin merenggangkan hubungan masyarakat Malaysia yang telah terbina semenjak sebelum penjajahan kolonial lagi.

Kerajaan Malaysia sepatutnya memahami struktur sosial masyarakat Malaysia yang telah diasas berasaskan identiti Melayu Islam yang masih menjadi majoriti komposisi masyarakat Malaysia kini. Memperkukuh identiti masyarakat Melayu Islam merupakan instrumen penting dalam menjamin masa depan Malaysia.

Juga, kerajaan perlu mengkukuhkan identiti masyarakat Cina dan India dengan pendidikan yang berteraskan semangat toleransi dengan menjadikan penerimaan masyarakat Melayu terhadap penduduk dari luar sebagai warganegara dengan mengorbankan perkara tertentu sebagai contoh kepada semangat toleransi diantara bangsa.

‘Identity politics’ golongan minoriti seperti LGBT, golongan kiri (liberal dan sebagainya) dan DAP telah menolak dan memarakkan golongan majoriti Melayu dalam kembali kepada perpaduan dan mengenal ideniti Melayu. Sifat asabiyyah dikalangan melayu kini kembali wujud setelah lama di lalaikan dengan materialism dan kemewahan.

Walaupun pada permukaannya ini kelihatan sebagai satu perkara yang baik, namun dalam jangka masa panjang, akan wujud ultra-Melayu, ultra-Cina yang boleh bertindak meruntuhkan perpaduan yang telah kita kecapi selama ini kerana asabiyyah ini tidak dibina diatas perkara yang betul dan dibina diatas semangat kebencian yang salah. Asabiyyah yang perlu dibina adalah asabiyyah kekitaan berdasarkan sifat sayang akan bangsa dan agama juga diatas sifat bencikan kejahatan dan kebatilan.

Kerajaan Malaysia perlu memainkan peranan dalam menjaga Islam dan Melayu kerana tindak tanduk kerajaan yang sering mengangkat golongan minoriti akan menolak kesatu sudut dimana kerajaan akan hilang kawalan terhadap kuasa dan akan berlaku kekacauan yang bakal merosakkan Malaysia.

Kerajaan perlu mengiktiraf asabiyyah bangsa dan tidak melakukan segregasi terhadap golongan majoriti di Malaysia yang menyebabkan perpecahan di dalam Malaysia. Kerajaan perlu membina Malaysia berdasarkan identiti Melayu Islam yang telah tersemat didalam sejarah tanah air ini yang menjamin kemakmuran masyarakat di Malaysia.

Muhamad Amirul Asyraf bin Ahmad Kamal Zulkhairi
Pegawai Penyelidik Zaaba Institute of Leadership (ZIL)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts