Qari OKU baca al-Quran hingga huruf braille hilang

BUTTERWORTH: Menjadi kelaziman buat qari Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 25, membaca al-Quran Braille hampir setiap masa sehingga tertidur.

Bekas johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan itu turut mendengar audio bacaan qari terkemuka dari Mesir, Allahyarham Sheikh Mustafa Ismail.

“Paling kerap saya ulang dengar ialah surah Ibrahim surah itu yang dibaca ketika kali pertama saya mendengar suara Sheikh Mustafa semasa berumur 12 tahun.

“Teknik olahan suara beliau begitu indah dan istimewa serta tidak jemu didengar,” katanya selepas memperdengarkan bacaan pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Kebangsaan (MTHQK) semalam, hari ini.

Anak sulung daripada enam beradik itu turut memberitahu sudah tiga kali dia menukar al-Quran Braille miliknya lantaran tulisan timbul pada naskhah itu sudah ‘hilang’ kerana sering dibaca.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Tahfiz dengan Pengurusan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kelantan itu menambah dia mempelajari taranum sejak berusia sembilan tahun.

“Pada peringkat awal bapa mengajar saya hafazan. Biasanya saya hafal dulu dan kemudian barulah baca secara bertaranum dengan beberapa guru termasuk bekas qari kebangsaan, Ustaz Yahya Daud.

“Alhamdulillah saya menguasai kesemua tujuh jenis taranum antaranya Nahawand, Rast, Hijaz, Bayyati dan Sikah,” kata Johan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Kelantan 2017, 2019 dan 2020 itu.

Seorang lagi peserta OKU penglihatan dari Sabah yang memperdengarkan hafazan hari ini, Muhammad Iman Izzudin Jamaludin, 22, berkata kekurangan diri tidak menjadi penghalang untuk dirinya berdamping dengan al-Quran sejak berusia empat tahun.

Paling tidak dapat dilupakan ialah Muhammad Iman menghafal al-Quran melalui pemain cakera padat (CD) di dalam kereta sepanjang perjalanan ke sekolah pendidikan khas sejauh kira-kira 60 kilometer dari rumahnya di daerah Tuaran ke Putatan, Sabah.

Anak ketiga dari empat beradik itu berkata, pada masa tersebut dia belum didedahkan dengan al-Quran Braille dan hanya fokus belajar mengaji melalui CD sebelum menghafal cara bacaan kitab suci itu surah demi surah.

“Saya melakukan rutin itu selama tiga tahun termasuk sebagai persediaan untuk menyertai pertandingan peringkat negeri buat kali pertama semasa berusia 11 tahun.

“Alhamdulillah tamat pendidikan khas saya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin Tuaran yang hanya mengambil masa kira-kira lima minit perjalanan dari rumah,” katanya yang sedang menunggu keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

MTHQK berlangsung bermula 11 Jun hingga 16 Jun ini dengan penyertaan 108 peserta dari seluruh negara dengan membabitkan 29 peserta tilawah dan 79 peserta hafazan. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts