Rahmat Ar-Rahman Allah dalam setiap kewujudan

Allah SWT memulakan surah Ar-Rahman dengan nama-Nya yang tidak boleh dinisbahkan kepada mana-mana makhluk yang lain, iaitu Ar-Rahman.

Ar-Rahman memberi erti Yang Maha Mengasihi, dengan kasih tanpa syarat. Berbeza dengan Ar-Rahim, yang bererti Yang Maha Menyayangi, yakni sebuah kasih sayang kepada hamba-Nya yang beriman dengan-Nya.

Pendek kata, rahmat dalam nama Ar-Rahman memberi erti rahmat yang melimpahi semua makhluk-Nya. Rahmat dalam nama Ar-Rahim memberi erti rahmat yang khusus untuk hamba-Nya yang beriman.

Atas sebab itu ada sebahagian mufassirin mengatakan Ar-Rahman itu untuk semua, Ar-Rahim itu khas untuk orang beriman. Ini kerana Ar-Rahman bererti Yang Bersifat dengan Penuh Kerahmatan, Ar-Rahim pula bererti Yang Menyayangi.
Memang benar, rahmat Allah meliputi semua hatta orang kafir sekalipun, tetapi Allah hanya mengasihi dan menyayangi orang beriman.

Memahami nama-nama Allah SWT yang teliti dan spesifik mampu memberitahu kita sedikit sebanyak mengenai sifat-sifat Allah sepertimana yang disebutkan oleh-Nya.

Setiap nama-nama itu walaupun secara mata kasar seolah membawa maksud yang hampir, tetapi ia berbeza pada hakikatnya. Seperti nama Ar-Rahman dan Ar-Rahim, kedua-duanya membawa maksud umum bahawa Dia Maha Mengasihi dan Mengasihani, tetapi pada sudut bahasa Arab ia berbeza.

Kembali kepada surah Ar-Rahman, yang dimulakan dengan nama-Nya, iaitu Ar-Rahman.

Secara pandangan umum, kita boleh lihat bahawa surah ini banyak menceritakan mengenai kejadian alam, diselangi dengan ayat ‘Maka yang mana satukah nikmat Tuhanmu yang kamu berdua (jin dan manusia) boleh dustakan ?’ sebanyak 31 kali.

Ia bermula dengan kenyataan bahawa Dia mengajarkan Al-Quran, seterusnya menciptakan insan dan mengajarkannya ‘al-bayan’ yakni keterangan (ada pandangan mengatakan ia adalah percakapan dan cara penerangan).

Lalu ia masuk kepada penciptaan langit dan bumi, terbit dan terbenamnya matahari, apa yang ada di dalam laut, serta di atas langit dan seumpamanya.

Setelah itu ia masuk ke penceritaan alam akhirat, ahli neraka yang diseret ubun-ubunnya, dan ahli syurga dan nikmat-nikmatnya yang cukup detail, hinggalah ke akhir surah, diakhiri dengan ‘Maha Suci nama Tuhanmu Yang Mempunyai Ketinggian dan Pemuliaan’.

Ia adalah satu kesimpulan, dan beberapa penerangan.

Kesimpulan kepada kewujudan dari beberapa sudut.

Dari sudut zat kewujudan, dalam erti kata lain, ia bermula dengan Tuhan, dan berakhir dengan Tuhan.

Dari sudut taklifi yakni kebertanggungjawaban di hadapan Tuhan :

Ia adalah ‘tawajjuh (menghadapkan diri) kepada Allah SWT yang memberikan rahmat-Nya tidak putus-putus sejak alam dunia hingga ke akhirat’. Ini dijelaskan dalam pengulangan ayat tadi sebanyak 31 kali (Nikmat Tuhanmu yang manakah engkau dustakan).

Bahkan setiap ayat itu walaupun diulang 31 kali, bukanlah pengulangan serupa dan saranan yang serupa. Bagi saya ia adalah satu saranan baharu, bagi sebuah nikmat yang baharu. Ia ibarat satu bentuk lingkaran kesyukuran yang perlu diluaskan, selaras dengan luasnya nikmat yang dilimpahkan.

Dari sudut nilai kewujudan :

Ia bermula dengan ketinggian kedudukan Al-Quran, dan penciptaan manusia. Yang datang selepas itu adalah huraiannya, berupa penciptaan langit dan bumi, bulan dan matahari, dan seumpamanya.

Dari sudut dimensi kewujudan :

Ia bermula dengan dimensi penciptaan, dimensi dunia, dan diakhiri dengan dimensi akhirat. Cukup jelas bahawa dimensi dunia hanya diperlihatkan dalam kira-kira 1/3 surah, manakala dimensi akhirat pula melebihi 1/3 surah yakni melebihi kadar penceritaan dimensi dunia.

Saya yakini bahawa setiap bilangan ayat dan jumlah tertentu itu mewakili ‘portion’ tertentu dalam aspek kepentingan dan keutamaan.

Dari sudut ketamadunan :

Aspek ketamadunan ini jelas dalam gambaran kesempurnaan penciptaan. Yakni Dia mencipta makhluk-Nya, dan memberikan panduan untuk hidup (Al-Quran dan Al-Bayan). Memberikan sokongan untuk hidup iaitu diciptakan untuk manusia itu segala penciptaan langit dan bumi. Lalu diajarkan pula bahawa di sana ada kehidupan dunia dan kehidupan akhirat, sambil diselang-selikan dengan konsep kesyukuran yang memberi erti ‘kewajipan yang setimpal’ dengan nilaian rahmat-Nya dalam segenap aspek dalam pemberian-Nya.

Dalam mencipta ketamadunan, dibayangkan pula nikmat syurga dan seisinya, seolah-olah memberi isyarat bahawa inilah nikmat teragung yang akan dicapai di akhirat, yang memberi erti inilah sepatutnya cerminan ketinggian tamadun di dunia.

Manusia dengan neraca kesyukuran ini akan mampu membina sebuah bentuk kehidupan yang agung, kerana landasan ‘syukur’ itu akan sentiasa menjadikannya selamat kerana ia mengekalkannya dalam posisi ‘perhambaan’ dan tidak akan memindahkannya kepada posisi ‘mengaku jadi Tuhan’.

Dari sudut psikologi manusia pula :

Saya suka untuk mencerap dan menganggap bahawa surah ini sedang membawa kita untuk melihat kewujudan ini dalam kerangka ‘Ar-Rahman’.

Setiap kejadian alam ia bukanlah semata-mata satu kejadian yang cantik dan sempurna, ia adalah sebuah manifestasi rahmat-Nya yang terpancar dalam segala keindahan, kesempurnaan, kecantikan, dan kasih sayang.

Kebanyakan perbahasan aspek Tuhan yang dibahaskan oleh selain Al-Quran, tidak menceritakan aspek Tuhan yang mencipta alam ini mempunyai sifat-sifat kasih sayang yang cukup tinggi.

Hasil daripada perspektif itulah manusia akan hanya melihat Tuhannya sebagai sebuah objek yang mempunyai kuasa terhebat, tetapi tiada kasih sayang, lemah lembut, memberi peluang, memahami, dan seumpamanya.

Lalu jadilah ia manusia yang memusuhi Tuhannya, atas kejahilan dirinya sendiri terhadap Dia.

Kefahaman kita terhadap kewujudan perlu dilandasi sifat rahmah-Nya, lalu kita akan menghargai setiap yang kita lalui dalam hidup ini, bahawa kita sentiasa dilimpahi kasih sayang dan penjagaan-Nya.

(Namun ini tidak pula menjadikan kita tempang dengan kefahaman terhadap keadilan-Nya hingga kita selesa dan rasa boleh buat apa saja. Namun di sini bukanlah ruangan perbahasannya.)

Hamba yang hidup dalam dakapan dan kasih sayang Tuhan, cukup berbeza dengan hamba yang membayangkan bahawa Tuhan (atau objek itu dalam bayangannya) sedang berdendam dan menanti-nanti bilakah masa untuk menghukumnya.

Mereka mungkin melalui satu kehidupan yang sama, hakikatnya mereka itu melihat sebuah kewujudan dalam rangka yang berbeza.

Yang pertama hidup bersama Tuhan, yang kedua hidup tidak bertuhan.

Jika kita rasa kita sudah hilang arah, lihatlah surah ini, moga-moga kita sedari, bahawa kita sedang menikmati kasih-sayang-Nya.

Sepertimana Dia menciptakanmu dengan segala kesempurnaan nikmat-Nya, seperti itulah selayaknya engkau syukuri nikmat-Nya.

Atau,

Seperti itulah selayaknya, engkau memandang-Nya.

Agar engkau mengetahui bahawa :

“Dan rahmat-Ku meliputi segala sesuatu” – Surah Al-A’raaf

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

 

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts