home Semasa Raihan diiktiraf 500 muslim paling berpengaruh buat tahun kesembilan

Raihan diiktiraf 500 muslim paling berpengaruh buat tahun kesembilan

 

KUALA LUMPUR – Kumpulan Raihan sekali lagi disenaraikan dalam 500 muslim paling berpengaruh buat tahun kesembilan berturut-turut dalam satu hasil kajian yang dilakukan Universiti Georgetown, Washington, Amerika Syarikat.

Jurucakap Raihan, Che Amran ketika dihubungi berkata, penghargaan tersenarai dalam The Muslim 500: The World’s Most Influential Muslims buat tahun kesembilan adalah sesuatu yang cukup dibanggakan.

Menurut beliau, penghargaan ini merupakan satu penghormatan kepada Raihan yang telah menyebar luaskan dakwah Islam bukan hanya di dalam negara malah meliputi seluruh dunia.

“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dengan penghargaan ini. Ini semua adalah berkat doa peminat dan keluarga yang selama ini menyokong kami. Saya anggap ini adalah satu kebanggaan khususnya kepada pejuang irama nasyid kontemporari.

“Penghargaan ini bukan bererti kami hebat kerana tanpa komitmen dan sokongan semua pihak kejayaan ini tidak dapat dicapai. Malah, peminat di luar negara juga tumpang berbangga kerana kami dapat menonjolkan imej Islam.

“Kita kena lakukan sesuatu dengan penuh jiwa dan hargai setiap kurniaan Allah. Kita bukan buat kerja seorang diri sebaliknya percayalah, kita memerlukan ramai pihak. Kejayaan ini adalah kejayaan semua,” katanya.

Selain Che Amran, Raihan kini dianggotai Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim disenaraikan dalam kategori Seni dan Budaya mewakili Malaysia.

Turut berada dalam senarai itu ialah penyanyi antarabangsa, Maher Zain (Sweden) dan Yusuf Islam (United Kingdom). – Utusan Online

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *