Ramadan adalah masa kita fahami makna isi al-Quran

Apabila bulan Ramadan hadir dalam kehidupan kita, ia hadir dalam kerangka muhasabah dan peringatan kepada kita, dalam menilai hubungan kita dengan Allah SWT, yang diukur dengan neraca jauh dekatnya kita dengan neraca Al-Quran.

Ramadan adalah bulan turunnya Al-Quran, ia adalah sebaik-baik bulan kerana padanya diturunkan Al-Quran pada malam Al-Qadr. Sepertimana ia adalah demikian, seperti itu juga ia harus dilihat ia adalah sebaik-baik masa untuk kita melihat diri kita dalam neraca Al-Quran.

Apa yang dimaksudkan dengan neraca Al-Quran ?

Ia adalah melihat Al-Quran sebagai pembaris dan kayu ukur, terhadap kebenaran dan perspektif yang kita lihat terhadap diri kita, kehidupan dan kewujudan kita.

Pada malam pertama semalam, mungkin sebahagian daripada kita ada mentadabbur awal-awal surah Al-Baqarah. Ia memperlihatkan ciri-ciri munafiq yang seperti lalang, hanya melihat sisi yang pragmatis bersalut nafsu, di samping mendakwa bahawa ia adalah ‘maslahah’ bagi manusia.

Hakikatnya mereka menjual akhirat untuk habuan dunia, suatu perniagaan yang tidak pun untung sebenarnya, walau di kaca mata mereka itu adalah maslahah dan keuntungan. Allah SWT juga mengibaratkan mereka seperti orang yang menyalakan api tetapi terus terpadam serta merta dan mereka ditinggalkan dalam kegelapan tanpa cahaya untuk melihat. Mereka itu adalah buta, pekak, bisu, yang tidak akan menjumpai jalan pulang.

Di tengah-tengah juzuk pertama kita melalui episod perjuangan Nabi Musa AS bersama umatnya Bani Israel. Kerenah mereka yang terlalu rumit, dari sudut tidak bersyukur, pertikai arahan Tuhan, memanipulasi hukum hakam, hinggakan ada yang meminta untuk melihat Allah SWT baru mahu beriman. Ini adalah sifat-sifat yang dikeji yang sesuai untuk kita lihat diri kita dalam kerangka ini, mana tahu diri kita juga ada sifat-sifat sebegini dalam hubungan kita kepada Tuhan.

Kemudian kita menyusuri lagi sifat-sifat Bani Israel dan Al-Quran secara terus terang menceritakan bahawa Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali redha dengan umat Islam hinggalah umat ini mengikut kehendak dan cara hidup mereka.

Ini adalah sifir perjuangan yang tidak akan berubah dari dahulu hingga sekarang. Pertembungan hak dan batil yang tiada padanya tolak ansur dan tawar menawar.

Kemudian diceritakan kisah wasiat Nabi Yaakub AS kepada anak-anaknya. Baginda bertanya siapakah yang akan disembah selepas kematiannya ? Mereka menjawab : Kami akan menyembah Tuhanmu, yang merupakan Tuhan ayah-ayahmu Ibrahim, Ismail, dan Ishak, satu-satunya Tuhan yang Esa yang mana kepada-Nyalah kami berserah diri.

Ia adalah jawapan bersendikan kefahaman bahawa perjuangan turun temurun itu atas asas akidah yang sama, suatu rantaian yang tidak pernah putus dari sebelumnya, suatu kafilah dakwah yang berjalan dengan mesej yang sama, risalah dan misi yang sama, membentuk pelapis dan pengganti dengan kefahaman yang sama dan tarbiyah yang sama, hingga akhirnya perjuangan itu kekal zaman berzaman, dengan roh dan jiwa yang sama hingga ke akhir zaman.

Pada akhir juzuk satu kita melihat bahawa kefahaman dan generasi para anbiya’ itu akhirnya bukanlah membawa identiti diri mereka yang dicipta dengan kreativiti sendiri dan celupan-celupan lain, bahkan ia adalah celupan Tuhan, tarbiyah daripada Tuhan, identiti yang dibentuk Tuhan, dan kerangka perjuangan yang ditentukan Tuhan. Ia melambangkan suatu bentuk riayah (penjagaan) ilahiyah pada tahap tertinggi, yang akhirnya menuntut kita untuk bekerja bersungguh-sungguh dalam kerangka perjuangan ini, di bawah kehendak-kehendak rabbani.

Lalu kita akhiri juzuk satu itu dengan satu kesimpulan ; bahawa demikianlah umat terdahulu yang telah lepas, bagi mereka apa yang mereka kerjakan, bagi kamu apa yang kamu kerjakan, dan kamu tidak akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang telah mereka lakukan.

Ya, ia adalah seruan untuk beramal, seruan untuk menyingsing lengan, bukan seruan untuk bernostalgia dan membaca sejarah umat terdahulu, bahkan ia adalah seruan Qurani yang sangat tepat menusuk ke dalam lubum hati manusia, agar mereka berada dalam landasan yang sepatutnya.

Demikianlah sedikit sebanyak, bagaimana Al-Quran mahu membentuk generasi yang praktikal dan pro-aktif, sekiranya kita benar-benar memahami.

Ambillah sedikit masa dalam hari-hari bulan Ramadan ini, untuk kita merenungi dan mencermin diri, dalam cerminan Al-Quran.

Moga dengan demikian, kita mampu menjadi golongan yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan ganjaran.

“Apakah mereka itu tidak mentadabbur Al-Quran ? Ataupun hati mereka telah terkunci ?” – Surah Muhammad

Wallahua’lam. – Tadabbur Qurani

Ustaz Syamil Esa

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts