KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Dr Yousef Al-Othaimeen, menyampaikan salam beliau kepada semua umat Islam sempena sambutan Ramadan, dengan menyatakan bulan suci ini adalah kesempatan untuk menunjukkan nilai mulia Islam.

Beliau berkata, nilai ini termasuk sifat altruisme, kemurahan hati, kesederhanaan, toleransi, saling kewujudan bersama, menolak keganasan dan faham pelampau serta memerangi keganasan.

Dalam kenyataan OIC, setiausaha agung itu juga menekankan kepada perpaduan umat Islam di tengah-tengah cengkaman krisis kemanusiaan.

Dalam hal ini beliau menggesa semua 57 negara anggota OIC dan pertubuhan kemanusiaan di dunia Islam agar segera memberi respons kepada keperluan kemanusiaan keluarga miskin dan kurang bernasib baik di seluruh dunia Islam.

Beliau mengingatkan kepada semua agar menawarkan bantuan kepada pelarian dan mereka yang melarikan diri daripada kancah peperangan dan konflik di tanah air mereka.

Al-Othaimeen berdoa agar Allah melimpahkan rahmat dan petunjuk kepada pemimpin OIC serta umat Islam seluruh dunia.

Beliau juga berharap pemimpin dunia Islam akan berjaya meningkatkan perpaduan Islam dan mewujudkan keamanan sepanjang Ramadan.

Menurut laporan Aljazeera 34 negara termasuk Malaysia, mula berpuasa pada Sabtu manakala Bangladesh, Pakistan, India dan umat Islam Syiah di Iraq mengisytiharkan Ahad sebagai hari pertama Ramadan. – Bernama

www.indahnyaislam.my