Rangka manusia diurus seperti jenazah biasa jika milik orang Islam

Batu Pahat: Rangka manusia yang ditemukan tidak sempurna perlu diuruskan sebagaimana jenazah biasa jika disahkan ia milik individu beragama Islam, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid.

Beliau berkata, rangka itu perlu disempurnakan seperti jenazah yang lengkap iaitu dimandi, dikafankan hinggalah dikebumikan.

Mohd Fared berkata, penyempurnaannya perlu diuruskan dan dikebumikan hingga setakat mana rangka itu ditemukan, selain ia boleh disatukan walaupun tidak lengkap seperti mayat yang sebenar.

“Kita telah maklum berkenaan penemuan rangka manusia di Tongkang Pechah baru-baru ini.

“Sekiranya rangka itu milik individu beragama Islam, ia perlu disempurnakan macam uruskan mayat yang sebetulnya,” katanya ketika diminta mengulas berkenaan penemuan rangka manusia tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Perbadanan Islam Johor (PIJ) di Perpustakaan Tunku Tun Aminah UTHM, di sini, kelmarin.

Pada Jumaat lalu, polis menemukan rangka manusia tidak lengkap di Lorong Imam Jailani, Batu 7, Tongkang Pechah, di sini, selepas dipandu arah oleh seorang daripada suspek utama kes kehilangan ibu tunggal, Mira Sharmila Samsusah, 32, atau dikenali sebagai Bella.

Pada 14 Disember lalu, Bella dilaporkan keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada 11.50 malam dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap untuk mencuci pakaian di kedai dobi berhampiran dan gagal dihubungi sejak itu.

Mengenai MoU yang dimeterai, Mohd Fared memaklumkan UTHM dan PIJ akan bekerjasama dalam beberapa bidang antaranya kemanusiaan dan sains sosial, penerbitan, perundingan, latihan dan pembangunan kerjaya, khidmat sosial serta usaha sama dan perkongsian program pemacuan sosio ekonomi Johor.

“Saya berharap kerjasama seumpama ini dapat memberi manfaat berterusan bukan sahaja kepada UTHM dan PIJ, malah pelajar serta masyarakat khususnya di Johor,” katanya. -Harian Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts