Rashed puji peranan Malaysia bantu umat Islam

 

PUTRAJAYA: Pemimpin Tunisia, Sheikh Rashed Ghannouchi memuji tindakan berani Malaysia dalam isu mendepani umat Islam di Asia Tenggara dan Asia Barat.

Rashed yang juga Presiden Ennahda, parti politik Islam di Tunisia, berkata Malaysia memainkan peranan penting dalam isu Palestin, isu penindasan etnik Rohingya di barat Myanmar, isu selatan Thailand dan selatan Filipina.

Katanya, Malaysia juga berjaya memberi imej positif sebuah negara Islam membangun yang disegani masyarakat dunia walaupun mempunyai masyarakat majmuk.

“Kami membincangkan tentang isu umat Islam seperti Kebangkitan Arab, dunia Arab dan isu Palestin.

“Kita hargai apa yang kerajaan Malaysia lakukan untuk umat Islam, termasuk etnik minoriti Rohingya (di barat Myanmar), selatan Thai dan selatan Filipina,” kata Rashed kepada media di sini, mengulas pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Seri Perdana, hari ini.

Rashed yang amat dikenali dalam dunia Islam sebagai tokoh Muslim sederhana tiba di Malaysia semalam sebagai tetamu khas kerajaan.

Mengulas lanjut pertemuan dengan Perdana Menteri, Rashed berkata kedua-dua pihak berbincang mengenai kerjasama dua hala antara Malaysia dan Tunisia.

Pemimpin Tunisia itu berkata, beliau juga dibawa melawat Tabung Haji dan Felda.

“Kita harap syarikat-syarikat Malaysia akan melabur di Tunisia,” kata Rashed menjelaskan negara itu boleh menjadi pintu masuk pelaburan Malaysia di negara Arab dan utara Afrika.

Rashed berkata, perbincangan dengan Najib juga menyentuh mengenai sektor pendidikan bagi membolehkan pelajar Tunisia melanjutkan pelajaran di universiti negara ini.

Parti Ennahda yang diketuai Rashed menang besar pada pilihan raya demokratik pada 2011 pasca Kebangkitan Arab.

Bagaimanapun ia tidak mengambil alih tampuk pimpinan di Tunisia, sebaliknya membentuk kerajaan perpaduan dengan parti sekular bagi memastikan kestabilan di negara itu. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts