Reunion: Islam anjur erat silaturahim tapi jangan alpa

 

Reunion atau majlis pertemuan semula rakan-rakan yang telah terpisah sekian lama sudah menjadi budaya masyarakat hari ini.

Malah dalam Islam sendiri menganjurkan  manusia mengeratkan, memperkukuh dan menyambung silaturahim.

Pendakwah terkenal, Datuk Hassan Mahmud berkata, surah al-Hujurat ayat 10, ALLAH SWT berfirman, “Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikan antara kedua-dua saudara mu dan bertakwalah kepada ALLAH supaya mendapat rahmat”.

“Dalam ayat 13 surah sama, ALLAH berfirman, “Sesungguhnya, Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kami di sisi ALLAH ialah orang paling taqwa antara kamu”.

“Begitu juga Rasulullah SAW berkali-kali menyebut dasar bersaudara dalam Islam menitik beratkan kasih-mengasihi antara satu sama lain, tolong menolong dan membela saudara seagama.

“Ini dijelaskan Rasulullah dalam sabdanya menerusi riwayat Ahmad, seorang muslim adalah yang dipercayai oleh kaum beriman terhadap jiwa dan harta mereka dan seorang mujahir (penghijrah) adalah yang berhijrah meninggalkan dan menjauhi keburukan (kejahatan),” katanya.

Namun, menurut Hassan, ramai antara umat Islam di negara ini tidak faham tentang persaudaraan dan hubungan silaturahim.

“Ramai yang hadir ke majlis tersebut dengan bergaul bebas antara lelaki dengan perempuan, lupa aurat, lupa anak dan isteri di rumah.

“Perkara seperti inilah membawa kepada keruntuhan akhlak umat Islam. Lebih menyedihkan berlaku penceraian suami dan isteri angkara orang ketiga serta maksiat tanpa rasa berdosa,” katanya.

Beliau menyarankan empat prinsip yang perlu dimiliki individu sebagai pelindung ketika menghadiri majlis reunion itu.

Antara prinsip itu ialah memperkukuhkan akidah agar dapat mengawal diri dan hawa nafsu.

“Biasalah dalam kalangan rakan-rakan tu ada bekas kekasih, jadi kita tidak mahu kasih lama bertaut kembali. Kalau bukan kita, dia yang akan mulakan semula, jadi perlu teguhkan akidah.

“Kedua, syariat Islam sebagai asas kuat kepada diri. Maksudnya kita tahu hukum hakam jika kita buat sesuatu perkara. Dengan cara ini kita akan takut untuk melakukan dosa.

“Ketiga ialah sopan santun mengikut panduan Islam baik dari tutur kata mahupun cara berpakaian. Jangan jadikan diri sebagai santapan mata orang ramai. Terakhir, jaga ibadah kerana  itu menghalang seseorang itu melakukan perkara keji dan mungkar,” jelasnya yang turut menasihatkan umat Islam mengawasi diri sendiri.

“Jangan jadi orang yang suka berlari di halaman orang lain kerana ia boleh merosakkan rumah tangga sendiri dan sebaliknya,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

 

Total
0
Shares
1 comment
  1. Juga, terdapat Di kalangan rakan2 lama yg mungkin berstatus bujang atau janda. Ini yg tidak disenangi para isteri.. Kenapa reunion tidak suami bawa isteri Mereka.. Tak takut hukum bergaul dengan kawan perempuan lain atau isteri orang.. Rasa-rasa si suami kepada kawan perempuan sporting sangat mungkin? Dan juga saya dapat tahu, isteri orang pon bukan main lagi Mereka yang macam gatal bertanya bila nak reunion? Bawak lah suami Anda, boleh jatuh fitnah.. Tak perlu nak lagak mat salleh.. Tujuan berkumpul sesama saudara Islam atas niat ketaatan, mcm kenduri kesyukuran, itu ok. Pon tetap Kena bawa pasangan masing2 utk elak fitnah. Boleh akibatkan keruntuhan rumahtangga, bila berlaku pertengkaran antara suami isteri berkenaan reunion.. Sekian terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts