Rezeki sentiasa ada sejak jaga tujuh beradik yatim piatu

DUNGUN – Pasangan suami isteri yang belum dikurniakan cahaya mata mengakui rezeki mereka sentiasa ada sejak menjaga tujuh anak saudaranya yang yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa akibat nahas jalan raya dua tahun lalu.

Anazul Ami Idris, 42 berkata, dia tidak pernah menganggap kehadiran mereka sebagai bebanan malah menyifatkan mereka bertujuh adalah pengubat rindu terhadap arwah adiknya, Norhapisah Idris, 34, dan suami, Kamal Hisham Mustaffa Mohammad, 35.

“Sejak menjaga mereka dua tahun lalu, rezeki sentiasa ada untuk menampung perbelanjaan bulanan.

“Sebab itulah kami akan jaga amanah ini dengan baik dan akan pastikan mereka mendapat pendidikan terbaik demi masa depan,” katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Ahli Jawatankuasa Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) sempena program Sentuhan Kasih KAWAT di Bandar Al Muktafi Billah Shah semalam.

Pada program itu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada keluarga terbabit.

Dalam pada itu, Anazul Ami berkata, dia menganggap tujuh anak saudaranya itu merupakan anugerah terindah kerana dia dan isteri, Mariani Othman, 42 masih belum dikurniakan cahaya mata.

“Kami berdua sangat bersyukur kerana dapat menjadi ‘ibu bapa’ kepada mereka tujuh beradik serta dapat mencurahkan kasih sayang sepenuh hati.

“Kehadiran mereka memberikan kebahagiaan kepada kami malah kami juga berpeluang merasai pengalaman menjadi ibu dan bapa walaupun belum dikurniakan zuriat sendiri,” katanya yang kini menetap di Kampung Pasir Raja dekat sini.

Tujuh beradik itu ialah Muhammad Danial, 14; Muhammad Danish Irfan, 13; Muhammad Darwish Iqbal, 11; Muhammad Dhiyauddin Aiman, 10; Muhammad Daim Amin, 8; Muhammad Dhiya Arsyad, 7 dan Dayyinah Athirah, 5.

Mereka kehilangan ibu bapa dalam kemalangan jalan raya di Jalan Felda Kerteh 2/3, dekat Ketengah Jaya, Dungun pada 4 Oktober 2019.

Menurut, Anazul Ami, dia kini menerima sumbangan sebanyak RM800 setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala tujuh beradik itu masing-masing menerima sumbangan RM200 menerusi Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) dan RM200 daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) setiap bulan.

Sementara itu, Timbalan Presiden KAWAT, Mohd Ishak Abdillah Ngah berkata, program itu merupakan usaha pengamal media di Terengganu dalam menyantuni golongan tidak bernasib baik seperti anak yatim piatu, pesakit kronik dan ibu tunggal.

“KAWAT menyampaikan sumbangan RM500 hasil derma daripada orang ramai yang bersimpati dengan nasib mereka. Kita juga akan memantau perkembangan mereka dari masa ke masa.

“Sebagai golongan yang sentiasa berada di lapangan, media juga mahu memainkan peranan untuk membantu golongan yang memerlukan. Apa yang dilakukan ini adalah tanggungjawab sosial media kepada masyarakat,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts