RM1.6 juta untuk masjid, surau bantu kariah terkesan COVID-19

 

SEREMBAN: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menyalurkan RM1.6 juta kepada masjid dan surau di negeri ini, tahun ini, bagi membantu anak kariah yang terkesan berikutan pandemik COVID-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata sebanyak 301 masjid menerima jumlah sumbangan yang berbeza berdasarkan baki akhir tabung masjid iaitu antara RM2,000 hingga RM7,000.

Katanya, sebanyak 1,020 surau pula masing-masing menerima RM500 menerusi peruntukan berkenaan.

“Bantuan ini diwujudkan untuk menampung dan meringankan kesempitan yang dialami oleh anak kariah yang terkesan akibat COVID-19.

“Masjid yang baki akaunnya sedikit diperuntukkan sumbangan lebih berbanding masjid lain agar pihak masjid berkenaan dapat menyantuni anak kariah mereka yang terputus sumber pendapatan atau terkesan dengan pandemik ini.

“Walaupun di Negeri Sembilan terdapat tanda penurunan kes baharu positif COVID-19 kebelakangan ini, bantuan hendaklah diteruskan untuk memberi kesejahteraan kepada semua anak kariah sehingga keadaan kembali normal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pengurusan Masjid Peringkat Negeri Sembilan 2021 melalui dalam talian di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Mains, Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Mohd Zaidi Ramli dan Pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Negeri Sembilan (USIM), Prof Dr Mohd Aderi Che Noh.

Aminuddin berkata, pihak pengurusan masjid diminta lebih proaktif dalam usaha menjaga kebajikan anak kariah dengan menggunakan wang tabung masjid seperti melaksanakan bantuan berkonsepkan gerobok rezeki.

“Program gerobok rezeki perlu diuruskan dengan baik bagi mengelakkan fitnah terhadap penerima dan pengurusan masjid,” katanya.

Mengenai kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk negeri itu, Menteri Besar berkata, sehingga semalam, seramai 549,576 orang atau 67.5 peratus daripada penduduk berusia 18 tahun ke atas telah menerima vaksin pertama.

Daripada itu, katanya, seramai 217,247 orang atau 26.68 peratus pula telah selesai melengkapkan kedua-dua dos.

“Negeri Sembilan telah mencapai 19.25 peratus selesai vaksinasi berdasarkan populasi setakat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, 51 peratus daripada ahli jawatankuasa masjid telah menerima vaksin dos kedua, manakala 35 peratus pula dos pertama.

“Dijangkakan menjelang pertengahan Ogos ini, semua pegawai masjid dari seluruh negeri akan menerima sekurang-kurangnya dos pertama,” katanya. -Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts