Salah faham terhadap kenyataan Syeikh al-Azhar isu poligami: Mufti Wilayah

 

BARU-BARU ini beberapa media dalam negara telah menerbitkan laporan mengenai kenyataan Syeikh al-Azhar, Dr. Ahmad Tayyib dengan tajuk mengelirukan seperti, “Poligami tidak beri keadilan pada wanita”[1], Poligami selalunya tak adil terhadap wanita”[2] dan “Grand imam of Egypt’s Al-Azhar calls polygamy ‘injustice to women”[3]. Semua tajuk ini dinukilkan secara tidak cermat daripada beberapa media luar negara yang membuat liputan mengenai satu rancangan temubual yang menampilkan Syeikh al-Azhar sebagai tetamunya.[4] Ia cuba menggambarkan seolah-olah Syeikh al-Azhar menolak pensyariatan poligami atas alasan membawa kezaliman terhadap wanita.

Pada hakikatnya, dalam temubual tersebut, Syeikh al-Azhar hanya menjelaskan salah faham sesetengah umat Islam dalam memahami surah al-Nisa’ ayat 3, mengenai pensyariatan berpoligami. Kegagalan memahami ayat tersebut menyebabkan berlaku kezaliman dalam berpoligami sedangkan kezaliman merupakan sesuatu yang ditegah oleh syarak. Beliau menegaskan bahawa asal perkahwinan itu adalah dengan seorang wanita. Perkahwinan lebih daripada seorang pula disyaratkan berlaku adil. Bagi yang khuatir dirinya tidak mampu berlaku adil, haram baginya untuk berpoligami. Hal ini dijelaskan dalam beberapa hantaran yang dibuat dalam laman facebook rasmi al-Azhar al-Sharif[5] bagi menjelaskan kekeliruan yang berlaku.

Sesungguhnya penjelasan Syeikh al-Azhar ini adalah selari dengan nas al-Qur’an sebagaimana firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً

Maksudnya: “Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja”.

Surah al-Nisa’ (3)

Demikian juga sebagaimana difahami oleh para fuqaha. Menurut Syafi’iyyah dan Hanabilah, disunatkan bagi seseorang lelaki tidak berkahwin lebih daripada seorang isteri jika dia tidak mempunyai sebarang keperluan mendesak. Lebih-lebih lagi jika dengan berkahwin seorang itu sudah mampu memelihara kehormatan dirinya daripada zina. Di samping dapat mengelakkan dirinya daripada terdedah kepada yang haram jika berkahwin lebih seorang, namun tidak mampu berlaku adil. Begitu juga Hanafiyyah, yang mengharuskan berkahwin sehingga empat jika dapat menjamin tidak berlaku zalim terhadap keempat-empatnya. Namun, jika ia tidak dapat menjaminnya, maka memadai baginya berkahwin seorang sahaja. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 41/220-221)

Ini bermakna, tidak timbul langsung bahawa Syeikh al-Azhar menganjurkan agar poligami diharamkan atau dilarang secara mutlak. Sebaliknya beliau hanya menjelaskan salah faham sesetengah pihak yang menyangka hukum asal perkahwinan itu adalah berpoligami sedangkan ia suatu fahaman yang silap. Lebih-lebih lagi apabila dilakukan tanpa syarat berlaku adil sehingga mendatangkan kezaliman terhadap kaum wanita.

Adapun hukum berpoligami itu sendiri adalah disyariatkan berdasarkan nas al-Qur’an, hadis dan ijmak ulama. Para ulama salaf dan khalaf telah berijmak bahawa hukum asal berpoligami itu harus dan tidak boleh melebihi empat orang isteri. Antara ulama yang menukilkan ijmak adalah Ibn Kathir (lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 1/451), al-Qurtubi (lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 5/17), Ibn al-Munzir (lihat al-Ijma’, 80), al-Syanqiti (lihat Adwa’ al-Bayan, 1/223), al-Sa’di (lihat Taisir al-Karim, 1/164) dan selain mereka.

Kesimpulannya, poligami merupakan salah satu daripada hukum syarak yang sabit dengan dalil qat’iy (putus dan jelas) seperti solat lima waktu, puasa pada bulan Ramadan dan lain-lain. Oleh yang demikian, menolak pensyariatannya atau mempertikaikannya seperti mendakwa ia zalim dan lain-lain boleh menjejaskan keimanan seseorang. Sikap sebegini bertentangan dengan pendirian seorang muslim yang sewajarnya patuh dan taat pada setiap apa yang telah diputuskan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّـهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَن يَعْصِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

Surah al-Ahzab (36)

Ini selari dengan penegasan Syeikh al-Azhar sendiri dalam satu pembentangan beliau berkenaan isu poligami dalam Mu’tamar al-Ifta’ al-‘Alami pada 17 Oktober 2016. Beliau menegaskan:

أبادِرُ بالقولِ بأنَّني لا أدعو إلى تشريعاتٍ تُلغي حقَّ التعدُّدِ، بل أرفُضُ أيَّ تشريعٍ يَصدِمُ أو يَهدِمُ تشريعاتِ القرآنِ الكريمِ أو السُّنَّةِ المُطهَّرةِ، أو يَمسُّهمَا من قريبٍ أو بعيدٍ؛ وذلك كي أقطعَ الطريقَ على المُزايِدِينَ والمُتصيِّدين كلمةً هنا أو هناك، يَقطَعونها عن سِياقِها؛ ليتربَّحوا بها ويتكسَّبوا من ورائها.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak menyeru kepada peraturan yang memansuhkan hak berpoligami, bahkan saya menolak apa jua peraturan yang bercanggah dan meruntuhkan syariat al-Qur’an dan al-Sunnah yang suci atau yang cuba merosakkan kedua-duanya sama ada daripada dekat atau jauh. Demikian itu supaya saya dapat menyekat ruang golongan liberal dan oportunis daripada mengambil perkataanku di sini dan di sana, lalu mereka memutuskannya daripada konteksnya untuk mengambil kesempatan di sebaliknya.”[6]

Akhirnya, kami menyeru kepada semua pihak agar sentiasa berhati-hati dalam memetik atau menukilkan apa jua berita yang datang daripada luar negara, apatah lagi apabila ia melibatkan isu-isu berkaitan hukum hakam agama. Amalkan prinsip tabayyun sebelum melaporkan sesuatu berita terutamanya dengan merujuk kepada sumber rasmi dan memahami konteks sebenar sesuatu isu yang dibincangkan. Semoga Allah SWT menyelamatkan kita semua daripada bencana fitnah dan sentiasa mengurniakan petunjuk dalam membezakan yang haq dan batil.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.

Akhukum fillah,

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Nota Hujung:

[1] https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2019/03/536823/poligami-tidak-beri-keadilan-kepada-wanita-imam-al-azhar

[2] https://www.malaysiakini.com/news/466424

[3] https://www.nst.com.my/world/2019/03/465480/grand-imam-egypts-al-azhar-calls-polygamy-injustice-women

[4] https://www.youtube.com/watch?v=f8DCp1hpOz0

[5] https://www.facebook.com/OfficialAzharEg

[6] https://www.youtube.com/watch?v=rnR33p7853w

Sumber: muftiwp.gov.my

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts