Sangka baik dengan agamamu!

iftar-mekah

 

“Eh, kenapa orang kat Mekah ni berebut makanan buka puasa macam zombi?” terdetik soalan ini saat pertama kali melihat suasana selepas iftar di bumi Masjidil Haram.

Hakikatnya, manusia di Mekah bulan puasa ini bukanlah sedikit. Ketika solat Jumaat kali pertama saya bergerak keluar dari hotel sejam sebelum waktu solat. Itu pun dikira lewat dan pintu masuk telah pun ditutup. Maka terpaksa bertabah bersolat di luar pekarangan masjid dan diserang cahaya matahari pada suhu 50 darjah selsius. Saya kira itu adalah tarbiyah bagi saya, terutama bila imam berdoa hampir 15 minit pada khutbah kedua.

Bila ramai orang, banyaklah warna-warna situasi manusia. Ramai yang hidup mereka serba kekurangan, hanya berjaya sampai ke Mekah ketika lanjut usia dan VISA tamat tempoh. Malah, ada juga yang hanya mengharap dapat mati dalam Mekah, di hadapan Masjidil Haram.

Untuk mereka, berbuka puasa di hotel amat jauh sekali. Maka apabila makanan iftar diedar terutama makanan mahal semacam ayam goreng dan kebab, mereka terus meluru mengejar dan menghulur tangan serta menolak orang di depan.

Bagi orang luar terutama sekali yang berpendidikan Barat mungkin seperti saya, saya terus melihat hal ini bermasalah.

“Isyh, takkan macam ni perangai orang Islam dekat depan Kaabah? Macam mana kalau Mat Saleh tengok tak berdisiplin? Macam mana kalau orang Korea gelak tengok tak bertamadun macam diorang?”

Dalam hati memang terdetik nak tulis status fb kritik benda ni. Tapi Allah jentik hati, saya terdongak sedikit ke atas.

Pak Arab berjanggut yang sedang memberikan makanan percuma kepada jemaah.

Maka saya terfikir, “Kenapa mesti aku tengok dan besarkan isu jemaah miskin yang sikit tak berdisiplin sebab terdesak nakkan makanan? Kenapa tak aku puji dan besarkan manusia-manusia baik hati yang berikan makanan percuma pada mereka?”

Manusia di Tanah Haram ini hakikatnya sangat pemurah dalam menjamu ribuan manusia di situ berbuka puasa. 2 jam sebelum Maghrib, mereka sudah mula membuka alas makanan di sekeliling masjid. Syarikat-syarikat pengusaha makanan memiliki tapak mereka sendiri untuk dihidangkan makanan percuma kepada siapa saja yang datang. Jadi, anda sebenarnya boleh memilih untuk makan makanan seperti nasi arab atau ayam goreng bergantung pada tapak mana anda pilih untuk duduk.

Di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi saja, kerajaan Arab Saudi menyediakan 4.2 juta makanan berbuka puasa percuma kepada jemaah. Secara total, mereka mendermakan 540 juta Riyal sepanjang 30 hari semata-mata untuk berbuka saja! [1]

Saya sendiri pun masih ada masalah menderma lebih daripada 10 pound untuk gelandangan di sini!

Soalan saya, agama mana lagi yang berbuat begini dalam satu skala global? Negara Barat mana yang berterusan memberi bantuan makanan selama sebulan dalam tahapan jutaan pound/euro/dollar?

Tetapi, kenapa kita hanya mendengar yang buruk mengenai agama? Kenapa mesti yang dihighlight adalah jemaah berebut waktu ambil makanan? Kenapa yang disharedan diviralkan oleh orang Islam sendiri adalah muslim membazir waktu membuka puasa?

Sikap terlalu kritikal terhadap agama

Saya mengalami satu dilema sebagai seorang pengamal dan pengguna media; amat sukar untuk mencari naratif (gaya penceritaan yang positif) mengenai agama. Sewaktu membesar, naratif biasa yang didengari memngenai Islam adalah pengeboman di Baghdad, kemunduran dan kemusnahan. Ketika itu, difahami bahawa media massa terutamanya saluran televisyen adalah manipulasi penuh Barat, mereka yang membawa persepsi Islam sebagai musuh terutama selepas 9/11.

Suatu jurnal yang dibuat di Cardiff, Wales mengatakan hampir 80% daripada keseluruhan berita yang mengaitkan Islam adalah negatif. [2]

Mungkin kita tak hairan dengan media-media tajaan Barat yang berbuat demikian, tapi apa yang diperhatikan orang Islam juga jarang mengetengahkan aspek yang positif mengenai Islam, tetapi yang dibincangkan mengenai agama sentiasa bernada kritis dan sinis.

Naratif yang biasa diketengahkan sekarang adalah ketidakpercayaan dengan ustaz-ustaz, kritikan satu hala terhadap institusi agama, pergaduhan isu khilaf yang tak menguntungkan, kemunduran negara Islam, kebobrokan dan korupsi pemimpin Islam serta merendahkan nilai epistemik agama.

Bukanlah tidak boleh langsung bersikap kritis, tetapi jika hanya itu naratif yang dipilih, hanya itu yang dishare dan viral maka ada masalah dengan cara fikir kita. Siapa lagi yang nak mempromosikan kebaikan Islam kalau bukan umatnya? Jika promoter itu sendiri kritik produknya, siapa yang nak beli?

Sekiranya justifikasi  berita-berita demikian tidak newsworthy, maka mengapa tidak kita jadikannya newsworthy? Sekarang di zaman media sosial, pengguna media punya peranan dalam memilih berita mana nak dijadikan viral. Pengguna yang beragenda tahu sisi pandang mana nak diketengahkan atau diabaikan.

Menyedarkan singa Itu sebenarnya singa

Mungkin argumen yang ampuh untuk naratif bersifat ‘sentap’ itu adalah umat Islam kena diketuk barulah tersedar. Bila ditunjukkan di muka mereka ranking negara Islam sebagai negara terkotor dunia, barulah mereka akan ambil penyapu. Bila ditunjuk artikel negara Barat itu lebih ‘Islamik’, mungkin barulah mereka bangun daripada tidur.

Hakikatnya, tiada umat Islam sekarang yang mengaku negara mereka maju. Tiada yang mengatakan Islam sekarang berada pada kemuncaknya. Bagi yang mungkin sedikit terpelajar, mereka akan mengatakan mereka sekarang berada di kedudukan paling bawah sekali dalam peta sejarah. Itu sebab sebahagian umat menolak perjuangan khilafah, kerana itulah ‘the ideal state‘ yang kita tahu kita pernah kecapi. Persoalannya, bagaimana mahu menaikkan kembali graf pencapaian?

Pada saya, bukanlah naratif ‘sentap’ dan kritis yang kita perlukan untuk mulakan gelombang kebangkitan, apatah lagi jika dibanding-banding dengan negara-negara yang buat masa ini dalam peredaran masa, tampak lebih maju daripada kita. Pengalaman belajar di Barat mengajar saya. Cara penceritaan demikian memaksakan sisi pandang reformis. Bermakna, bila umat ditayangkan peradaban maju sekarang di luar konteks sejarah dan identiti mereka, maka itulah titik rujukan mereka. Timbullah seruan menukar dan reform acuan Islam itu sendiri seperti menyeru menginterpretasikan semula al-Quran. “Negara maju itu maju tanpa amalan Islam yang barbaric dan ketinggalan zaman, maka secara logiknya kita juga akan maju seperti mereka jika kita tinggalkan amalan yang mereka tak buat”.

Sedangkan apa yang umat Islam perlukan adalah sisi pandang revivalis. Mereka perlu dipuji dan disedarkan mengenai hakikat dan fakta kegemilangan mereka hasil aqidah kepada Tuhan yang satu. Umat Islam perlu berani menyandarkan kebaikan kepada agama mereka, bukan mengaitkan dengan terma yang difikirkan lebih ‘universal’ semacam ‘kemanusiaan’. Adalah amat tidak adil bila muslim yang berbuat onar maka agama yang disalahkan, tapi bila dia berbuat kebaikan ia kerana ‘kemanusiaan’.

Seekor singa yang dipenjarakan bertahun-tahun mungkin mencemburui dan merasa rendah melihat sekawan musang yang bebas berlari dan memburu. Setelah dibebaskan, singa tersebut mencampakkan dirinya dalam lembah kehinaan bila dia mula meniru jejak langkah sang musang, cara memburu mereka dan kelajuan mereka berlari kerana merasakan musang itu lebih baik daripada dirinya yang terpenjara bertahun-tahun. Sedangkan, apa yang diperlukan oleh sang singa adalah disedarkan kembali potensi sebenarnya sebelum dipenjara, status hebatnya sebagai Raja Rimba.

Menyokong mereka yang berjuang

Syukur, trend media sekarang menunjukkan banyak golongan yang sedar kepentingan keluar daripada naratif negatif dan pertelingkahan, sebaliknya memviralkan sisi pandang yang baik tentang Islam.

Sekarang timbul page baru seperti ‘Know Your Heroes’, ‘Islamic Lost History’, ‘5 Pillars’, ‘Ilmfeed’ , ‘Indahnya Islam’ juga tokoh-tokoh agama yang tampil membuat page sendiri seperti mufti-mufti dan sarjana Islam. Ketika imej Islam sedang diburukkan, maka laman-laman tampil mengemukakan sisi pandang lain yang lebih positif dan mempertahankan maruah agama.

Begitu juga, dahulu kita sukar melihat muslim memberi komen mempertikaikan naratif negatif media Barat. Kini muslim bangkit melawan persepsi malah disokong pula oleh non-muslim.

Persoalannya kita di mana? Adakah kita seorang yang ‘share‘ dan menghasilkan bahan yang memburukkan agama, atau menjadi pengguna media yang pasif, ataukah kita berjuang mengkritik semula keganasan persepsi yang dicanang selama ini?

Semoga menjadi muhasabah juga kepada diri ini.

Haziq AbdurRahim

Rujukan:

[1] http://www.arabnews.com/node/942731/saudi-arabia
[2] https://orca.cf.ac.uk/53005/1/08channel4-dispatches.pdf

Sumber: http://haziqabdrahim.blogspot.my/2016/07/sangka-baik-dengan-agamamu.html

Total
0
Shares
1 comment
  1. Ana masa di sana …. pernah alami jemaah yang komplen pasal makan ikan yang dah keras dan kadang kadang dah buruk … sambil komplen cakap bayar mahal mahal dapat makan macam tu aja… ana pun cakaplah sama dia tidak salah kalau nak komplen tetapi jangan cakap sebab kita bayar mahal…. bila kita komplen mungkin pihak pakej boleh terangkan atau improve tetapi bila cakap kita bayar mahal tak betul lah kerana Allah yang jemput kita pun dah syukur … duit atau rezeki yang kita ke sana tu pun dari Allah. .. ingat lagi pesanan ustaz ghani katanya kita di Malaysia sudah puluhan tahun makan makanan yang sedap tak bolehkah kita bersabar dengan makanan yang disediakan untuk beberapa hari sahaja… ana alhamdulillah berselera sungguh walaupun lauk tak semewah di Malaysia tetapi sehingga sekarang merindui untuk ke sana lagi ..

Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts