Selawat lepas tarawih tak patut jadi perbalahan

 

IPOH – Amalan sunat seperti bacaan selawat selepas solat tarawih tidak seharusnya menjadi punca perbalahan umat Islam di negara ini.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, bacaan selawat selepas solat tarawih tidak termasuk dalam sembahyang dan tidak menjejaskan solat sunat itu.

Menurutnya, malah selawat itu juga digalakkan untuk dibaca pada bila-bila masa sama ada selepas solat atau waktu biasa.

“Umat Islam tidak dilarang untuk berselawat selepas tarawih dengan syarat pertama, tidak menganggap perkara itu wajib dibuat. Kedua, dilakukan secara tertib dan teratur, jangan mempermain-mainkan. Selawatlah dengan penuh penghayatan dan cara yang terbaik.

“Jangan jadikan itu sebagai punca perbalahan, perseteruan kerana perkara itu tak wajib, perkara itu sunat. Bergaduh itu haram, jangan kerana perkara sunat, kita lakukan perkara yang haram,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas penyampaian bantuan mangsa ribut sumbangan Yayasan Ikhlas dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Cawangan Ipoh di Kampung Tasek di sini pada Sabtu.

Zamri (empat dari kiri) bersama mangsa ribut yang menerima sumbangan berupa keperluan rumah daripada Yayasan Ikhlas dengan kerjasama Isma Cawangan Ipoh dalam satu majlis ringkas di di Kampung Tasek pada Sabtu.
Hadir sama pada majlis itu, Yang Dipertua Isma Cawangan Ipoh, Muhammad Nurfadzli Anuar dan Penghulu Mukim Hulu Kinta, Robiah Mohamed.

Sementara itu, Zamri yang merupakan Duta Yayasan Ikhlas memaklumkan seramai 18 mangsa ribut terpilih menerima sumbangan daripada yayasan berkenaan.

Menurutnya, lebih RM20,000 diperuntukkan oleh Yayasan Ikhlas bersama sumbangan orang ramai untuk menyediakan keperluan kepada mangsa ribut.

“Antara barang-barang yang disumbangkan seperti tilam, toto, bantal dan katil. Ini semua merupakan hasil sumbangan orang ramai kepada kita.

“Sumbangan ini kita selaraskan dengan pimpinan setempat iaitu Pejabat Penghulu Mukim Hulu Kinta agar bantuan diberikan tidak bertindih dengan penyumbang lain,” katanya.

Beliau berkata, penyerahan sumbangan itu turut dibantu oleh 20 sukarelawan Isma Cawangan Ipoh selain turut disertai wakil Yayasan Ikhlas.

Katanya, orang ramai yang berhasrat untuk menyumbang kepada Yayasan Ikhlas boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi Facebook.com/YayasanIkhlasMalaysia. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts