Solat jemaah di sekolah sebelum pulang pupuk disiplin, jati diri murid: KRIM

 

BANGI – Usaha melaksanakan solat jemaah di sekolah sebelum pelajar pulang ke rumah, sebagaimana disaran Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan disifatkan sebagai inisiatif terbaik memupuk disiplin dan jati diri.

Menyokong penuh pelaksanaan itu, Kelab Remaja Isma (KRIM) Nasional juga bersetuju dengan kenyataan Kementerian Pelajaran Malaysia bahawa amalan solat berjemaah itu wajar dilaksana semua sekolah kebangsaan di negara ini, menerusi pelbagai cara serta strategi.

Pengarah KRIM Nasional, Ibrahim Sharkawi berkata, meskipun ianya dipertikai oleh segelintir pihak kononnya dikhuatiri amalan itu menganggu perpaduan rakyat, namun beliau yakin isu sebegitu seharusnya tidak timbul memandangkan kebanyakan sekolah hari ini telah melaksana amali solat sebelum pulang.

“Sekolah hanya perlu memperkasakan cara bagi membolehkan semua murid dan guru yang beragama Islam boleh melaksanakan solat Zohor berjemaah sebelum pulang ke rumah.

“Pihak sekolah boleh menyediakan tikar untuk murid sekolah solat berjemaah di dataran perhimpunan atau dewan sekolah jika surau tidak mampu menampung jumlah murid yang ramai.

“Sekolah juga boleh membuat penggiliran waktu solat; 15 minit pertama murid tahap 1 dan 15 minit kedua untuk murid tahap 2,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut Ibrahim berkata, sekolah adalah tempat terbaik untuk memupuk disiplin murid kerana penetapan pelbagai peraturan yang wajib dipatuhi.

“Tidak terkecuali solat berjemaah juga memupuk murid untuk lebih berdisiplin dalam pelbagai aspek.

“Yang pertama aspek masa. Murid akan sentiasa solat pada awal waktu dan sentiasa mendahulukan solat sebelum melakukan kerja-kerja lain jika waktu solat telah masuk,” katanya.

Tidak setakat itu, jelas Ibrahim, solat berjemaah juga boleh memupuk murid berdisiplin dari segi tingkah laku serta mampu bertolak ansur.

“Murid perlu mengikut imam dan tidak boleh membuat perangai sendiri dalam solat. Murid juga perlu bertolak ansur dengan keadaan yang ramai dan sesak ketika solat.

“Ini akan menjadikan hati mereka lebih lembut dan mampu untuk bertolak ansur dalam apa jua keadaan dalam kehidupan, bukan semata-mata dalam solat seterusnya meningkatkan disiplin dan jati diri murid,” katanya.

Beliau turut berharap pelaksanaan solat berjemaah itu membantu mengukuhkan jati diri, pegangan agama dan disiplin generasi hari ini.

Katanya, KRIM serius dalam menjalankan aktiviti pengukuhan disiplin dan jati diri remaja, menerusi program Akademi Remaja KRIM.

“KRIM menjalankan pelbagai aktiviti sepanjang tahun di dalam program Akademi Remaja KRIM termasuk aktiviti fizikal, mental dan spiritual.

“Aktiviti KRIM boleh dilayari dalam facebook KRIM – Kelab Remaja ISMA dan www.kelabremajaisma.net,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

——

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts