Solat sunat Istikharah bukan semata-mata untuk memilih jodoh

Kebanyakan kita sering menganggap bahawa solat Istikharah hanya sesuai dilakukan tatkala memilih jodoh.

Hakikatnya, solat sunat berkenaan mempunyai ‘fungsi’ yang besar dalam kehidupan kita.

Akibatnya, ia sering dilupakan gara-gara tidak tahu tujuan sebenar ia dilakukan.

Ketahuilah bahawa Islam sebenarnya mengajar umatnya agar melakukan solat sunat berkenaan apabila menghadapi masalah yang sukar diselesaikan.

Rasulullah SAW bersabda: “Jika salah seorang daripada kalian berasa berat dalam sesuatu perkara, maka hendaklah dia solat dua rakaat, kemudian berdoa (doa istikharah).” (Riwayat Muslim)

Hadis itu jelas menggambarkan fungsi solat Istikharah yang kurang diendahkan oleh kebanyakan orang.

Masakan tidak, ketika menghadapi masalah, ramai yang tidak tahu apa yang patut dilakukan untuk menyelesaikan kesulitan berkenaan.

Lantaran itu, fikiran menjadi buntu dan mulalah kita mengambil keputusan terburu-buru yang akhirnya menerbitkan penyesalan dalam diri kerana tindakan yang diambil tidak seperti yang diharapkan.


Jika situasi itu yang kita hadapi, sebaiknya lakukanlah solat sunat Istikharah untuk pelbagai tujuan apabila dirasakan kita tidak mampu membuat keputusan yang tepat.

Tidak kiralah sama ada keliru memilih pekerjaan, membeli sesuatu barang atau menuju destinasi pilihan dan lain-lain.

Untuk menunaikannya, ia boleh dilakukan sebanyak dua rakaat atau sehingga 12 rakaat dengan enam salam.

Kepada mereka yang hendak menunaikannya, ia boleh dilakukan sama ada pada waktu siang atau malam.

Jangan lupa untuk membaca tasbih “Maha suci DIKAU yang tiada ilmu bagi kami kecuali apa yang DIKAU ajarkan (tunjukkan) kepada kami. Sesungguhnya DIKAU MAHA MENGETAHUI lagi MAHA BIJAKSANA!” dalam sujud akhir sebanyak 40 kali.

Sebelum bangun daripada sujud, mohonlah kepada ALLAH agar ditunjukkan jalan yang betul dalam membuat keputusan dan pilihan.

Ayuh sama-sama kita lazimi menunaikan solat sunat Istikharah jika ada masalah dan kesulitan yang sukar untuk diselesaikan. -Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts