Suami melarang isterinya ambil vaksin, apa hukumnya?

Ada isu timbul mengenai adakah sekiranya suami melarang isteri mengambil vaksin, lalu si isteri ambil juga vaksin, adakah dia dikira derhaka dan berdosa?

Jika suami melarang isterinya ambil vaksin, ada beberapa keadaan.

Keadaan pertama :

Vaksin hanya sebagai saranan dan galakan, pada waktu biasa dan bukan waktu wabak, tiada risiko terkena virus, serta tiada pula kewajipan dari pihak kerajaan.

Ketika ini vaksin bolehlah dianggap sebagai perkara harus atau sunat sahaja. Dalam keadaan ini, mentaati suami adalah wajib, dan mengambil vaksin dikira melanggar perintah suami.

Keadaan kedua :

Vaksin sebagai suatu keperluan yang besar untuk hidup. Keadaan wabak tengah melanda, tuntutan untuk pergi kerja, menguruskan kehidupan asasi, mengelakkan risiko jelas iaitu terkena wabak, dan berpotensi menjadi agen penyebaran wabak serta arahan daripada pemerintah sebagai satu-satunya cara dalam menangani wabak.

Ketika keadaan begini vaksin boleh dianggap suatu kewajipan secara individu. Perkara wajib dalam tahapan ini tidak memerlukan izin sesiapa untuk melakukannya. Ibarat jihad ketika musuh masuk menceroboh negara kita, wanita boleh keluar rumah pergi berjihad tanpa izin suami. Arahan suami kalaupun dikira wajib, ada kewajipan yang lebih besar yang lebih diutamakan.

Pada ketika itu, pengambilan vaksin tidak dikira derhaka, kerana isteri sedang melakukan kewajipannya, bukan sekadar melakukan perkara sunat atau harus.

Keadaan ketiga :

Iaitu keadaan di tengah-tengah antara pertama dan kedua, ia memerlukan suatu murajjih (penguat) samada untuk mengqiyaskan hukumnya kepada keadaan pertama, atau keadaan kedua.

Apabila ia qiyas, sudah pasti peratusan hukumnya juga berbeza, walaupun ia hukum yang sama.

Contohnya, kalau pun dikatakan derhaka, dalam keadaan pertama, derhakanya tidaklah seperti kederhakaan asal iaitu nusyuz. Ia paling tidak pun dikata melanggar arahan kecil kerana tujuan yang besar.

Begitu juga jika ingin dikategorikan kepada keadaan kedua, iaitu tidak berdosa, ia juga tidaklah bebas sepenuhnya dalam bertindak.

Paling kurang di sana ada hak suami dalam diberi penjelasan dan dalam perihal lain si isteri masih terikat dengan kewajipan-kewajipan lain terhadap si suami.

Secara kesimpulannya, si suami perlu berhati-hati dalam mengurus rumahtangga, dan membuat satu-satu keputusan selari dengan sarana awam, para mufti dan ahli yang berkelayakan menentukan sesuatu perkara, yang beliau bukanlah ahlinya.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Syamil Esa
Pengarah Sekretariat
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts