Sultan Selangor tak berkenan budaya LGBT, liberal, ekstremis

sultan.png_1466603591

 

CYBERJAYA, – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda tidak berkenan kepada umat Islam yang terlalu liberal dan menghalalkan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Namun begitu, beta juga tidak berkenan golongan umat Islam yang terlalu liberal sehingga mengetepikan syariat Islam seperti menghalalkan budaya terlalu bebas seperti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) serta mengamalkan budaya yang terkeluar daripada syariat Islam serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh agama Islam.

“Jadilah umat Islam yang mengikut landasan Islam yang sebenarnya dan sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai pegangan hidup,” titah baginda pada majlis berbuka puasa bersama rakyat dan sambutan Nuzul Al-Quran peringkat negeri di Masjid Raja Haji Fi’ Sabilillah, di sini hari ini.

Dalam pada itu, baginda juga tidak mahu ada dalam kalangan umat Islam di Selangor bersifat ekstremis yang terlalu taksub terhadap agama sehingga menolak segala kemajuan serta tidak mengikut lunas-lunas Islam sebenar.

Semangat jihad pada setiap umat Islam, titah baginda, harus dimanfaat dan disalurkan ke tempat yang betul, bukan dengan membabitkan diri dalam aktiviti keganasan atau pelampau agama seperti Daesh.

Sultan Sharafuddin sekali lagi menegaskan agar pegawai dan ahli jawatankuasa masjid mematuhi arahan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) supaya tidak membenarkan unsur-unsur politik disebarkan di dalam masjid serta larangan memanggil penceramah, pendakwah dan khatib yang tidak mempunyai tauliah dari MAIS.

“Beta juga telah menitahkan agar penceramah-penceramah dari luar negara tidak dibenarkan sama sekali untuk menyampaikan ceramah di masjid-masjid di Selangor kecuali Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz (Masjid Negeri), Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong dan Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang,” titah Baginda.

Baginda turut berkenan merasmikan Masjid Raja Haji Fi’ Sabilillah yang siap dibina pada 19 Jan 2015 dengan kos RM62 juta di atas tapak seluas 6.8 hektar yang merangkumi bangunan masjid, dewan serbaguna dan kuarters kakitangan.

Masjid kedua tersebar di Selangor itu mampu menampung 10,200 jemaah dan bercirikan teknologi hijau dengan memaksimumkan pencahayaan dan pengudaraan semulajadi serta sistem takungan air bawah tanah bagi menuai air hujan untuk menyiram pokok di sekeliling masjid.

Masjid itu dinamakan bersempena nama Raja Haji Fi Sabilillah Ibni Opu Daeng Chelak iaitu Almarhum Sultan Salehuddin yang mangkat ketika berjihad menentang Belanda pada tahun 1784.

Sumber: http://www.ismaweb.net/2016/06/sultan-selangor-tak-berkenan-budaya-lgbt-liberal-ekstremis/

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts