Sykes-Picot, minyak dan kuasa imperialis

sp3

 

16 Mei 2016, genap 100 tahun perjanjian kuasa imperialis. 16 Mei 1916 adalah merupakan tarikh keramat buat Timur Tengah yang membentuk situasi Timur Tengah moden sekarang. Perjanjian Sykes – Picot merupakan sebuah perjanjian rahsia antara British dan Perancis semasa Perang Dunia Pertama. Perjanjian ini adalah perjanjian pembuatan sempadan di Timur Tengah yang membahagikan Timur Tengah kepada dua bahagian iaitu bahagian yang berada di bawah British dan bahagian kedua diletakkan di bawah pegaruh Perancis. Sykes – Picot yang diambil bersempena dua orang diplomat yang berunding dalam perjanjian ini iaitu Mark Sykes wakil bagi British dan Francois George – Picot mewakili Perancis.

Walaupun perhatian yang besar diberikan kepada Sykes dan Picot, akan tetapi antara pemain utama di dalam perjanjian ini dan yang mendapat saham di dalam sumber tenaga di Timur Tengah adalah seorang lelaki yang diberikan samaran sebagai ‘Mr Five Percent’ iaitu Calouste Gulbenkian. Gulbenkian bukan sahaja sebagai seorang broker minyak di Iraq akan tetapi juga merupakan punca kepada kelahiran syarikat utama minyak di dunia.

Gulbenkian dilahirkan pada tahun 1869 dari keluarga Armenia di Uskudar, merupakan bandar yang terletak dibahagian Turki Asia. Beliau mendapat pendidikan dalam bidang kejuruteraan di King’s London College dan seterusnya pada tahun 1887 beliau berpindah ke Baku, yang merupakan sebahagian dari Empayar Rusia.

Gulbenkian menjadi hab kepada perkembangan industri minyak, di mana keluarga Noble yang menaja Noble Prize dan keluarga Rothchilds mempunyai nasib yang cerah oleh kerana Gulbenkian.

Ia juga pemula kepada sebuah revolusi yang memperjuangkan nasib pekerja yang ditindas yang bermula di dalam industri minyak. Gerakan revolusi yang diasaskan oleh seorang warga Georgia, Ioseb Jughashvili ataupun beliau dikenali dengan nama Joseph Stalin.

Semasa Gulbenkian di Baku beliau menulis artikel mengenai petroleum yang menarik minat pegawai pegawai Uthmaniyyah. Beliau telah bekerja dibawah Uthmaniyyah bagi mengesan simpanan sumber minyak yang berada didalam wilayah kuasa Uthmaniyyah ketika itu.

Syarikat Eropah juga telah mendekati Gulbenkian oleh kerana kepakaran beliau dalam kebolehan teknikal, pengetahuan mengenai budaya Empayar Uthmaniyyah dan hubungan baik beliau dengan pegawai-pegawai Uthmaniyyah.

Tidak dinyatakan secara jawatan rasmi peranan beliau semasa bekerja bersama Uthmaniyyah. Akan tetapi, secara dasarnya Gulbenkian merupakan ‘oil fixer’ , seorang broker dan pembuat perjanjian minyak yang pertama didunia, walaupun beliau membantah semua syarat syarat ini, akan tetapi beliau lebih suka dilihat sebagai seorang ‘arkitek’ didalam eksploitasi petroleum.

Pada tahun 1912, Gulbenkian menjadi broker keada sebuah syarikat antarabangsa yang dikenali sebagai Turkish Petroleum Company (TPC), yang berperanan untu meneroka dan mengeksploitasi sumber minyak didalam wilayah Empayar Uthmaniyyah. Walaupun nama syarikat tersebut adalah Turkish Petroleum akan tetapi peranan Turki dalam mengaturkan dan mencorakkan syarikat ini sangatlah kecil dan minimal.

Hasil Gulbenkian menjadi broker kepada TPC, beliau telah diberikan 5 peratus ‘non – voting share’ didalam syarikat tersebut. Dari situ beliau mendapat jolokan ‘ Mr Five Percent’. Selain itu, syarikat minyak terbesar iaitu Royal Dutch Shell sekarang dipanggil sebagai Shell memperolehi 22.5 peratus pemilikan saham didalam Turkish Petroleum Company.

Sebuah syarikat minyak yang sebahagian adalah milik United Kingdom iaitu Anglo- Persian Oil Company ( APOC) yang kini dikenali sebagai syarikat minyak BP telah membeli 47.5 peratus daripada saham TPC. Menjadikan APOC sebagai pemegang saham terbesar didalam TPC.

Walaubagaimanapun, semasa Uthmaniyyah berpihak kepada Jerman didalam Perang Dunia Pertama, British sudahpun banyak melaburkan didalam syarikat minyak yang berada didalam kawasan musuh (Uthmaniyyah).

Didalam perjanjian rahsia Sykes – Picot antara British dan Perancis, Iraq dan Basrah yang merupakan bekas tanah wilayah Uthmaniyyah ditetapkan diletak bawah pengaruh British.

Maka, Basrah yang kita lihat pada hari ini yang terletak di selatan Iraq, merupakan kawasan yang berpotensi mempunyai sumber minyak yang banyak yang bakal dieksploitasi di masa hadapan. Secara dasarnya, perjanjian Sykes – Picot adalah merupakan draf perjanjian kawalan penjajahan di dalam Timur Tengah.

Selain itu, dengan kelahiran mandat Iraq dibawah British, Turkish Petroleum Company (TPC) telah diberi penjenamaan semula sebagai Iraq Petroleum Company (IPC) bagi mengeksploit sumber minyak daripada Kirkuk yang terletak diutara Iraq sehinggalah Basrah, di Selatan Iraq.

Seterusnya, pemilikan saham oleh syarikat APOC didalam syarikat minyak baru IPC dimana berkurang kepada 23.75 peratus memberi ruang kepada syarikat minyak ‘Compagnie Francaise des Petroles’ yang kini diberi nama Total. Ianya adalah sebagai tukaran oleh British kepada Perancis untuk melepaskan kawasan sumber minyak disekitar Mosul yang telah termetrai didalam perjanjian Sykes – Picot tersebut. Syarikat IPC yang telah dibina oleh Gulbenkian telah memberikan laluan kepada Perancis dalam mengeksploit telaga minyak yang berada didalam kawasan British.

Walaupun sedemikian, Gulbenkian tetap menjadi orang penting didalam eksplotasi minyak didalam Syarikat IPC beliau yang mana tetap mendapat 5 peratus dari hasil minyak. Pada tahun kematian beliau tahun 1955, jumlah keuntungan yang beliau perolehi adalah sebanyak 840 Juta Dollar.

Beberapa perkara yang kita dapat lihat hasil daripada Perjanjian Sykes- Picot adalah, perjanjian Sykes- Picot bukanlah perjanjian yang meletakkan kepentingan bangsa Arab akan tetapi lakaran sempadan untuk ketamakan kepentingan syarikat minyak sebagai contoh kerajaan Iraq dan rakyat Iraq hanya mempunyai manfaat kecil dariada syarikat minyak yang seharusnya hasil dalam negara dipulangkan kembali kepada rakyat Iraq. Ini tidak, keuntungan minyak tersebut adalah untuk kepentingan penjajah.

Pada hari ini, krisis di Timur Tengah berterusan oleh kerana kepentingan kepentingan pihak tertentu di dalam mengeksploitasi sumber minyak yang banyak yang terdapat di Timur Tengah. Ditambah dengan masalah politik dalaman yang diambil kesempatan bagi meneruskan hegemoni kuasa besar di Timur Tengah.

Muhammad Nabil bin Mohd Takiyuddin
Ahli Unit Kajian Palestin dan Timur Tengah QUDS

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts