Syor institusi ulama jadi rujukan utama pentadbiran negara

 

BANGI, 7 Rejab 1441H, Isnin – Majlis Ulama ISMA (MUIS) mencadangkan supaya badan dan institusi ulama dijadikan rujukan utama bagi pentadbiran negara, sepanjang tempoh pemerintahan baharu yang diketuai Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi MUIS, Datuk Zamri Hashim berkata, cadangan itu sekali gus mengangkat martabat para ulama tanah air dalam mengemudi bahtera negara ke hadapan.

“Pihak MUIS ingin mengingatkan bahawa jawatan yang dipegang adalah merupakan satu amanah daripada Allah SWT yang akan dipertanggungjawabkan pada hari kemudian.

“Jawatan yang diberi bukanlah pula anugerah atau milikan peribadi yang membolehkan seseorang itu memperlakukan apa sahaja yang disukainya tetapi ia merupakan satu tugasan berat yang mewakili rakyat bagi menguruskan pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mewakili pihak MUIS, beliau yang juga Timbalan Mufti Perak turut mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu, sekali gus mengakhiri kemelut politik negara sejak seminggu lalu.

 

 

“MUIS melihat apa yang dilakukan oleh Yang Dipertuan Agong (YDPA) dalam menyelesaikan konflik politik tanah air merupakan satu tindakan yang tepat dalam menamatkan drama politik yang tidak berkesudahan yang hanya merugikan umat Islam dan rakyat Malaysia serta negara secara keseluruhan.

“Semoga pentadbiran Perdana Menteri ke-8 ini sentiasa mendapat petunjuk dan taufiq daripada Allah SWT bagi memenuhi aspirasi Perlembagaan dan konsep kenegaran Malaysia yang berteraskan agama Islam, institusi raja dan orang Melayu, sepertimana yang diwarisi turun temurun,” katanya.

Muhyiddin telah mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Kelapan di hadapan Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.

Pelantikan itu sekali gus menamatkan episod kemelut politik negara, selepas Ahli Parlimen Muafakat Nasional daripada UMNO-PAS, Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS), menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts