Taiwan berusaha wujudkan pelancongan mesra Muslim

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan Taiwan akan berusaha mewujudkan suasana mesra Muslim dalam usaha menarik lebih ramai pelancong Muslim ke negara itu.

Ketua Perwakilan Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, Chang James Chi-Ping berkata, sehingga hari ini, terdapat hampir 500,000 Muslim di Taiwan dengan mempunyai 13 destinasi pelancongan menyediakan pelbagai kemudahan bagi memenuhi keperluan pelancong asing yang beragama Islam.

“Selain itu, terdapat 103 buah restoran halal dan hotel di Taiwan telah diberikan sijil halal oleh Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya seperti yang disiarkan dalam Oriental Daily.

Menurutnya, seramai 10 juta pelancong asing berkunjung ke Taiwan sepanjang tahun lalu dan 474,000 daripadanya rakyat Malaysia.

“Saya harap jumlah ini akan meningkat dan sasaran sekurang-kurangnya 550,000 orang mampu tercapai pada tahun ini,” katanya.

Pelancong dari Malaysia adalah paling ramai melawat Taiwan antara negara-negara di rantau Asean sepanjang tahun lalu.

Begitu juga dengan jumlah pelancong Taiwan yang datang ke Malaysia turut meningkat. Pada pertengahan tahun ini, seramai 114,551 rakyat Taiwan telah berkunjung ke Malaysia, ia bertambah sebanyak 24,457 orang dalam tempoh sama tahun lalu.

Selain itu, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Taiwan turut meningkat.

“Taiwan adalah rakan pelabur Malaysia keempat terbesar. Jumlah perdagangan pula adalah kelapan terbanyak di Malaysia.

“Sehingga Ogos tahun ini, jumlah perdagangan kedua-dua hala telah meningkat 24.3 peratus, iaitu sebanyak RM47.4 bilion,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts