Tanggungjawab kepimpinan dalam Islam

Jawatan kepimpinan yang disandang bukanlah satu keistimewaan, kelebihan atau kemegahan sebaliknya adalah suatu tanggungjawab yang sangat berat dan memerlukan pengorbanan tinggi serta kerja keras secara bersungguh-sungguh.

Menurut al-Mawardi, kepimpinan adalah menggantikan tugas kenabian bagi menjaga agama dan menguruskan kehidupan dunia. Seterusnya, Ibn Khaldun juga menjelaskan kepimpinan ialah membawa seluruh manusia berada di atas landasan syarak bagi kepentingan akhirat dan urusan keduniaan yang menguntungkan akhirat.

Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud:  “Setiap kalian adalah pemimpin dan kalian akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kalian; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; khadam pula diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya.”  (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, Islam menjelaskan bahawa setiap manusia sama ada lelaki atau wanita adalah sebagai pemimpin. Paling asas, setiap orang adalah pemimpin terhadap dirinya sendiri dan yang paling tinggi adalah seorang pemimpin terhadap rakyat. 

Tanggungjawab kepimpinan perlu dilaksanakan dengan penuh strategi dan perancangan yang tertatur serta tersusun rapi demi mencapai kemajuan, kesejahteraan dan kebahagian rakyat sama ada di dunia dan juga akhirat. 

Islam sudah menggariskan pelbagai tugas dan tanggungjawab kepimpinan yang baik untuk diterapkan dan diaplikasikan supaya membawa kesejahteraan dan kebaikan dalam sesebuah negara.

Pertama memelihara dan memartabatkan nilai murni agama. Berusaha mempertahankan kesucian agama daripada segala bentuk penyelewengan, kesesatan, ideologi yang bercanggah dengan Islam dan sebagainya. 

Kepimpinan wajib menghapuskan segala bentuk penyelewengan yang merosakkan imej masyarakat dan Islam dengan menggunakan kaedah dan metode yang bersesuaian seperti penerangan, mengemukakan hujah, dan sehinggalah kepada tindakan undang-undang.

Sewajarnya pemimpin menjadi teladan serta mengamalkan cara hidup yang betul dan tidak menyeleweng. Sekiranya kepimpinan tidak mengamalkan ‘kebenaran’, maka rakyat akan menjadi lebih rosak lagi, sebagaimana maksud firman Allah SWT:  “Mengapakah kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri.”  (Surah al-Baqarah: 44)

Kedua menjaga keselamatan rakyat daripada pencerobohan dan anasir negatif dari pihak luar. Hal ini dapat dilakukan dengan menyediakan benteng pertahanan yang kukuh dan kekuatan ketenteraan yang mantap.

Ketiga menegakkan keadilan dan menjamin keamanan dalam negera. Pemimpin perlu melaksanakan undang-undang yang telah diletapkan oleh syarak dan berlaku adil. Seterusnya, memastikan pelantikan hakim yang berkelayakan untuk memikul tugas pengadilan supaya keadilan dapat ditegakkan yang sekaligus menjamin keamanan dan kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

Keempat menyelesaikan pertelingkahan dan perselisihan dengan bijaksana. Solusi perlu dilakukan dengan berhemah dan melalui saluran yang betul. Pemimpin perlu memastikan pihak yang terlibat dengan proses pengadilan tidak dizalimi dan teraniaya.

Kelima mengutamakan kebajikan dan menyediakan kemudahan asas kepada rakyat. Kepimpinan melalui saluran kementerian, jabatan dan sektor yang wujud perlu menyediakan kebajikan dan kemudahan asas kepada rakyat mengikut bidang kerja masing-masing seperti kesihatan, pendidikan, perindustrian, perdagangan, pertanian, pengangkutan, perumahan dan sebagainya.

Hal ini adalah selari dengan kaedah fiqh yang menganjurkan pihak pemerintah meyediakan kemaslahatan kepada rakyat iaitu  “Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat.”

Demikianlah tugas dan tanggungjawab kepimpinan yang perlu dilaksanakan supaya membawa kesejahteraan dan kebaikan dalam sesebuah negara. Natijah kepimpinan menurut Islam adalah untuk membina dan membangun insan yang sejahtera jiwa dan rohaninya, murni akhlak dan sikap, bersaudara, bantu-membantu dalam melakukan kebaikan, berganding bahu mencegah kemungkaran, mempertahankan nilai, kesucian dan kehormatan diri, menegakkan keadilan dan kebenaran, menolak kerosakan dan kebatilan.

Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang disayangi rakyat atau orang bawahannya. Oleh itu, pemimpin hendaklah memupuk kesetiaan masyarakat kepada kepimpinannya dan jangan melakukan sesuatu yang melemahkan kepercayaan dan kesetiaan.

Ingatlah nasihat Nabi SAW kepada Abu Dzar ketika meminta dilantik menjadi pegawai Nabi SAW yang bermaksud:  “Wahai Abu Dzar, engkau tidak mampu sedangkan jawatan adalah amanah. Ia adalah penghinaan dan penyesalan di Hari Kiamat melainkan mereka yang menguruskannya dengan cara yang betul.”  (Riwayat Muslim)

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts