Tanggungjawab nafkah seorang isteri dan anaknya atas kematian suami

Seorang isteri kematian suami dan pasangan tersebut mempunyai anak:

  1. Selepas kematian suami, siapakah yang bertanggungjawab menanggung nafkah isteri dan anak tersebut?
  2. Nafkah apa yang perlu ditanggung oleh pihak penanggung?
  3. Berapa lamakah pihak penanggung tersebut perlu menanggung nafkah isteri dan anak tersebut?

Seorang isteri kematian suami dan pasangan tersebut tidak mempunyai anak:

  1. Selepas kematian suami, siapakah yang bertanggungjawab menanggung nafkah isteri?
  2. Nafkah apa yang perlu ditanggung oleh pihak penanggung?
  3. Berapa lamakah pihak penanggung tersebut perlu menanggung nafkah isteri tersebut?

Ringkasan Jawapan

Kewajipan suami memberi nafkah kepada isterinya gugur setelah kematian suami. Hal ini kerana, isteri merupakan salah seorang waris yang berhak mendapat bahagian daripada harta peninggalan suaminya. Dengan demikian, harta peninggalan tersebutlah yang digunakan sebagai nafkah terhadap dirinya.

Seorang bapa tidak bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada anak perempuannya yang kematian suami jika anaknya itu mampu. Namun jika anaknya itu fakir dan tidak mampu bekerja atas beberapa faktor tertentu seperti gila, sakit dan sebagainya, maka bapa wajib memberi nafkah kepadanya, sekiranya bapa sudah tiada, maka tanggungjawab jatuh kepada datuknya untuk memberi nafkah.

Manakala nafkah anak kecil yang kematian bapa dan belum mampu bekerja, maka tanggungjawab tersebut terletak kepada datuk dari keturunan bapanya. Jika datuk sudah tiada, maka ibu kepada anak kecil tersebut dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepadanya sehingga anak tersebut baligh dan mampu bekerja.

Dari sudut kadar nafkah yang perlu diberi, hukum syarak tidak menetapkannya. Penentuan kadar nafkah itu hanya berdasarkan konsep mencukupi berdasarkan pandangan umum dan kemampuan pemberi nafkah.

Namun, jika datuk sebelah bapa anak kecil tersebut tidak mampu serta ibunya juga seorang yang fakir kerana kematian suami dan tidak mampu menanggung anaknya, maka menjadi tanggungjawab Pusat Zakat atau Baitulmal untuk untuk menanggung keperluan si anak itu. Oleh itu, isteri tersebut berhak mendapat zakat dan boleh memohon bantuan Pusat Zakat atau Baitulmal kerana statusnya sebagai asnaf zakat dalam kategori fakir dan miskin. Di samping itu, saudara-mara yang lain juga digalakkan untuk menghulurkan bantuan kepada saudaranya yang berada dalam kesusahan bahkan sunat membantunya atas tuntutan sedekah dan demi mengeratkan lagi silaturahim.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW dan seluruhnya.

Nafkah merupakan perbelanjaan bagi keperluan asas manusia seperti makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Secara asasnya, nafkah boleh dibahagi kepada lima, iaitu [1] Nafkah atas dirinya sendiri [2] Nafkah furuk kepada usul seperti anak memberi nafkah kepada ibu [3] Nafkah usul kepada furuk seperti bapa memberi nafkah kepada anak [4] Nafkah suami kepada isteri [5] Nafkah-nafkah yang lain.

Kewajipan seorang suami dalam memberi nafkah kepada isteri  merupakan perkara yang telah disepakati para ulama berdasarkan firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

MaksudnyaDan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.

(Surah al-Baqarah, 233)

Namun, kewajipan suami memberi nafkah kepada isterinya gugur setelah kematian suami. Hal ini kerana, isteri merupakan salah seorang waris yang berhak mendapat bahagian daripada harta peninggalan suaminya. Dengan demikian, harta peninggalan tersebutlah yang digunakan sebagai nafkah terhadap dirinya.

Dalam hal ini juga, tidak menjadi tanggungjawab seorang bapa untuk memberi nafkah kepada anak perempuannya yang kematian suami jika anaknya mampu. Namun jika anaknya itu fakir dan tidak mampu bekerja untuk menampung keperluan atas beberapa faktor tertentu seperti gila, sakit dan sebagainya. Maka disebabkan itu, bapa wajib memberi nafkah kepadanya. Sekiranya bapa sudah tiada, maka tanggungjawab jatuh kepada datuknya untuk memberi nafkah.

Manakala nafkah anak kecil yang kematian bapa dan belum mampu bekerja, tanggungjawab nafkah terletak kepada datuk dari keturunan bapanya. Jika datuk sudah tiada, maka ibu kepada anak kecil tersebut dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepadanya sehingga anak tersebut baligh dan mampu bekerja.Menurut Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, perintah memberi nafkah tamat apabila anak tersebut mencapai umur lapan belas tahun. Namun mahkamah juga boleh melanjutkan perintah pemberian nafkah sekiranya terdapat alasan yang munasabah seperti melanjutkan pembelajarannya.

Dari sudut kadar nafkah yang perlu diberi, hukum syarak tidak menetapkannya. Penentuan kadar nafkah itu hanya berdasarkan konsep mencukupi berdasarkan pandangan umum dan kemampuan pemberi nafkah. Firman Allah SWT:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا

MaksudnyaHendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.

(Surah al-Talaq, 7)

Kewajipan memberi nafkah hanya terletak kepada punca keturunan (usul) iaitu bapa, ibu, datuk, nenek dan ke atas, begitu juga dengan cabang keturunan (furuk) iaitu anak, cucu dan ke bawah. Di samping itu, saudaranya yang lain seperti abang atau kakaknya tidak dituntut untuk menafkahinya.  Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari:

وإنما تجب على ذي قرابة بعضية وتجب له وهم الفروع وإن نزلوا والأصول وإن علوا فقط، أي دون سائر القرابات كالأخ والأخت والعم والعمة، ذكوراً وإناثاً وارثين وغير وارثين.

MaksudnyaSesungguhnya yang hanya diwajibkan nafkah kepada kaum kerabat yang bersifat punca dan cabang keturunan(qarabah ba’diyyah) iaitu furuk(anak, cucu, cicit) dan yang ke bawah dan usul(bapa kandung, ibu kandung, datuk, nenek) dan yang ke atas sahaja, iaitu tidak termasuk kaum keluarga yang lain seperti adik beradik lelaki, adik beradik perempuan, pakcik, makcik samaada lelaki mahupun perempuan, samaada yang tergolong daripada pewaris harta atau tidak.

Meskipun saudara-saudara yang lain seperti bapa saudara tidak wajib menanggung nafkah anak saudaranya, mereka digalakkan untuk menghulurkan bantuan. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Salman bin Amir, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الصَّدَقَةَ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَعَلَى ذِي الرَّحِمِ اثْنَتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ

MaksudnyaSesungguhnya memberi sedekah kepada orang miskin adalah sedekah, manakala memberi sedekah kepada saudara-mara dihitung dua kelebihan, iaitu sedekah dan silaturahim.

Riwayat al-Nasa’ie (2582)

Namun, jika datuk keturunan sebelah bapa anak kecil tersebut tidak mampu serta ibunya juga seorang yang fakir kerana kematian suami dan tidak mampu menanggung anaknya, maka menjadi tanggungjawab Pusat Zakat atau Baitulmal untuk membantunya. Oleh itu, isteri tersebut berhak mendapat zakat dan boleh memohon bantuan kepada Pusat Zakat atau Baitulmal kerana statusnya sebagai asnaf zakat dalam kategori fakir dan miskin.

Wallahua’lam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts