Di sebalik tembok sekatan yang kejam, para ibu di Gaza kini berhadapan detik paling perit dalam hidup mereka — berjuang untuk memastikan bayi mereka tidak mati kelaparan.
Sejak Oktober 2023, serangan berterusan dan sekatan penuh oleh tentera Israel telah menyebabkan krisis kemanusiaan terburuk dalam sejarah moden Gaza. Bekalan susu formula bayi semakin pupus, dan ramai ibu pula terlalu kurang zat untuk menyusukan anak mereka sendiri.
“Di Gaza, ribuan kanak-kanak kini kebuluran kerana tiada susu untuk bayi bawah usia dua tahun,” jelas Dr Kahlil Daqran kepada Al Jazeera. “Malah, para ibu juga kekurangan nutrisi, tidak mampu menghasilkan susu badan. Bayi mereka hanya diberi air atau kekacang kisar — sangat berbahaya.”
Tahini dan Air Gantian Susu
Azhar Imad, 31 tahun, menceritakan bagaimana dia terpaksa mencampurkan tahini dengan air untuk diberi kepada anaknya, Joury yang baru berusia empat bulan. Tapi dia tahu, cara ini boleh memudaratkan.
“Kadang-kadang, saya hanya beri air dalam botol. Tiada apa-apa lagi yang ada,” kata Azhar. “Saya buat air jintan manis atau campuran herba – apa sahaja yang ada.”
159 Mati Kerana Kelaparan — 90 Daripadanya Kanak-kanak
Sekatan yang menyekat makanan, air, ubat dan bekalan bantuan lain menyebabkan angka korban terus meningkat. Dalam 24 jam terakhir sahaja, dua lagi kematian akibat kebuluran dilaporkan. Jumlah kematian kini mencecah 159 orang, dengan 90 daripadanya adalah kanak-kanak.
Walaupun PBB berulang kali mendesak agar laluan bantuan dibuka tanpa gangguan, Israel menuding jari kepada PBB kononnya gagal mengurus bekalan bantuan. Namun dakwaan itu disangkal oleh komuniti antarabangsa. Sebenarnya, Israel tidak memberikan laluan selamat untuk agensi kemanusiaan menghantar bantuan.
Usaha menjatuhkan bantuan dari udara juga dikritik sebagai tidak efektif, mahal dan berisiko tinggi.
“Walaupun ada laluan yang diumumkan sebagai ‘selamat’, lori bantuan masih berdepan kelewatan yang panjang. Pemandu, petugas bantuan dan orang awam terdedah kepada bahaya,” kata Farhan Haq, jurucakap PBB.
Mati Ketika Menunggu Bantuan
Di Gaza tengah, sekurang-kurangnya 23 orang dilaporkan terbunuh selepas ditembak tentera Israel ketika menunggu bantuan berhampiran simpang Netzarim. Insiden berdarah ini berlaku hanya beberapa jam sebelum pegawai khas AS dijadual memasuki Gaza untuk meninjau tapak pengagihan bantuan.
“Saya Hanya Ada Teh dan Air Sup”
Sementara itu, seorang nenek bernama Nehma Hamouda cuba sedaya upaya menyelamatkan cucunya, Muntaha, yang baru berusia tiga bulan. Ibu kepada bayi tersebut telah ditembak semasa mengandung dan meninggal dunia tidak lama selepas bersalin.
“Saya beri dia teh, sebab dia tak boleh makan makanan pejal. Kadang-kadang bila kami dapat sup kacang dhal dari dapur rakyat, saya tapis airnya dan beri padanya,” kata Nehma sambil menahan sebak. “Saya tak tahu apa lagi yang boleh saya buat.”
Harapan Masih Ada
Dalam kenyataan terbaru, Hamas menyatakan kesediaan untuk segera berunding bagi menghentikan perang — jika bantuan kemanusiaan sampai kepada yang memerlukan, dan krisis kebuluran dapat dihentikan.
Tetapi selagi bantuan terus disekat dan kanak-kanak terus kebuluran, Gaza kekal sebagai luka terbuka yang disaksikan dunia, namun dibiarkan tanpa belas.
Berapa ramai lagi bayi perlu minum air dan herba kerana dunia gagal menghentikan penderitaan ini?
Sumber : Al Jazeera dan diolah semula