Taufan al-Aqsa dedah sikap pengecut Zionis

BANGI– Khutbah Jumaat menegaskan serangan yang dilancarkan pejuang Hamas ke atas Israel hanyalah secebis daripada kesengsaraan dilalui rakyat Palestin dan penduduk Gaza hampir setiap hari, bahkan bertahun lamanya.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi khutbahnya berkata, Israel mendakwa bahawa penduduk Palestin telah menganiaya mereka dengan serangan itu, sedangkan hakikatnya tindakan rejim lebih teruk.

“Mereka mengebom tempat-tempat awam seperti rumah kediaman, sekolah, hospital, masjid dan sebagainya. Dunia membisu ketika ratusan bahkan ribuan rakyat Palestin terbunuh oleh kekejaman rejim Zionis Israel.

“Kini, penduduk Israel lari bertempiaran menyelamatkan diri, bahkan menyingkap sikap pengecut mereka yang sebenarnya,” katanya.

Atas dasar itu, khutbah mengingatkan bahawa isu di Palestin bukanlah isu negara dan agama semata-mata, sebaliknya turut menjadi isu kemanusiaan sejagat.

Ini kerana, ia bukanlah isu baharu yang berlaku, bahkan sejak berpuluh tahun rakyat Palestin hidup dalam ketakutan, penindasan dan kekejaman rejim Zionis di tanah air sendiri.

“Anak-anak kecil, kaum wanita, orang awam dibunuh sewenang-wenangnya. Mereka tidak mendapat kebebasan, pendidikan, kesihatan, dan keperluan hidup dengan sempurna.

“Kemudahan elektrik, air, bekalan makanan disekat masuk ke Palestin oleh Israel yang disokong oleh kuasa-kuasa besar dunia.

“Mereka sangat mendambakan kemerdekaan dari cengkaman rejim Zionis yang angkuh dan zalim,” katanya.

Maka, menurut khutbah, setiap jiwa yang memiliki sifat perikemanusiaan pastinya tidak tahan saban hari melihat serangan, pencerobohan, pembunuhan dan penculikan dilakukan Israel ke atas rakyat Palestin.

“Serangan roket yang dilakukan ke wilayah yang dijajah Israel oleh pejuang Palestin merupakan manifestasi dari kezaliman, penindasan dan pembunuhan yang berterusan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

“Kecanggihan teknologi ketenteraan yang dimiliki Israel pula bukan penentu kekuatan mereka kerana mereka tidak dapat mengesan pergerakan dan serangan yang dilakukan,” katanya.

Sehingga kini, Israel terus melancarkan serangan udara ke atas sasaran di pelbagai bahagian di Semenanjung Gaza.

Keganasan itu kononnya sebagai membalas serangan roket Hamas, yang menandakan kepada permulaan operasi taufan al-Aqsa terhadap Israel pada Sabtu lalu.

Setakat ini, angka kematian rakyat Palestin meningkat kepada 1,569, dan 7,212 yang lain cedera akibat pencerobohan Israel ke atas Gaza. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts